Jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah malam 8 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jemaah haji meninggal dunia selepas melakukan tawaf, disolat di Masjidil Haram

MAKKAH, 1 JUN: Jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia Rabu lalu, Allahyarham Mohd Zahir Ismail mengadu letih ketika melakukan tawaf sebelum rebah ketika hendak melakukan solat sunat tawaf selepas lengkap melakukan tujuh pusingan ibadah itu bersama isteri, Pauziah Othman.

Pauziah, 58, berkata pada Rabu malam mereka bersama jemaah lain dari Maktab 78 melakukan tawaf bagi umrah pertama selepas tiba dari tanah air beberapa jam sebelum itu.

“Semasa tawaf dia ada bagi tahu letih, tetapi makcik kata sabar kita buat pelan-pelan (perlahan-perlahan). Tetapi tak sangka dia letih sangat sebab dia ikut belakang…makcik tak tengok (dia).

“Selepas cakap macam itu, dia masih pegang (tangan), dia ikutlah sambil makcik cakap sabar kita dah nak habis dah, dia kata boleh saja,” katanya yang berasal dari Kubur Panjang, Pendang, Kedah ketika ditemui petugas media di hotel penginapan.

Bagaimanapun ketika hendak keluar dari Mataf untuk menunaikan solat sunat tawaf, Pauziah berkata Mohd Zahir yang masih berpaut pada lengannya ketika itu menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum tiba-tiba jatuh terlentang dan menyebabkan dia turut terjatuh.

Jemaah haji Malaysia Allahyarham Mohd Zahir Ismail meninggal dunia di Makkah pada 29 Mei 2024 dan disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram pada 30 Mei 2024. Foto BERNAMA

Ketika itu katanya dia segera melindungi suaminya dengan badan untuk mengelak dipijak jemaah lain sebelum dibantu jemaah dari maktab sama.

Pauziah berkata tidak lama kemudian beberapa askar datang membantu dan mengangkat Allahyarham ke atas buggy untuk dibawa ke klinik masjid, sebelum dikejarkan ke sebuah hospital bagi rawatan lanjut.

Namun Mohd Zahir disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

Menurut Pauziah, sepanjang mendirikan rumah tangga selama 26 tahun, Allahyarham yang merupakan bekas tentera tidak pernah mempunyai masalah jantung malah seorang yang sihat dan selalu berkebun.

Beliau turut menyifatkan Allahyarham sebagai suami yang baik dan selalu membantunya melakukan kerja rumah.

Pauziah berkata suaminya anak kedua daripada tiga beradik merupakan anak yang taat dan sentiasa menjaga kebajikan ibunya Zariah Musafar berusia 86 tahun yang telah uzur.

“Emak tinggal bersama kami sejak dua tahun lalu selepas kakak sulungnya meninggal dunia, suami tak pernah merungut atau marah. Memang dia jaga sangat baik sebab emaknya yang sentiasa terbaring tidak boleh bangun.

“Kalau hendak sembahyang dia urus termasuk mandikan, sambil itu dia mengusik dan bergurau dengan emaknya. Memang tidak pernah lupa tiap kali solat untuk sama-sama pakaikan telekung untuk emaknya,” katanya.

Jenazah Allahyarham Mohd Zahir disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram, Khamis lalu dan dikafankan menggunakan kain ihramnya.

– BERNAMA


Pengarang :