Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Gelanggang Bola Keranjang Klang Utama, Klang pada 13 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan Ehsan Rahmah diteruskan ke empat lagi lokasi esok

SHAH ALAM, 30 JUN: Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan asas murah dengan mengunjungi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di empat lagi lokasi esok.

Bermula 10 pagi, jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung di Dapur Kinrara, Jalan Puchong, Bandar Puchong Jaya (Kinrara) dan di Dewan Kg Ahmad Razali (Dengkil).

Jualan sama turut diadakan di Dataran PDT Klang (Pandamaran) dan di Dewan Orang Ramai Kg Jaya Sepakat (Sijangkang).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :