Orang ramai membeli barang keperluan pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Seri Setia di Dewan Balai Lintang Surau Al Ikhasiah, Taman Desaria pada 30 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan PKPS terus dapat sambutan, bantu B40 jimat belanja dapur

PETALING JAYA, 30 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) terus mendapat sambutan dan pengunjung mahu program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan lebih kerap.

Samsiah Arifin, 70, yang pertama kali berkunjung ke JER terkejut dengan harga ditawarkan yang disifatkan amat murah dan membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

Samsiah Arifin

“Sebelum ini pernah dengar JER tetapi tidak berkesempatan untuk pergi sebab jauh, kali ini baru berpeluang untuk berkunjung ke sini, cucu bawakan.

“Harga sangat murah dan berpatutan berbanding beli di pasaraya di luar. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan nasib B40,” katanya.

Anwari Hafifi Amer

Dianjurkan di Dewan Balai Lintang Surau Al-Ikhlasiah di sini, kakitangan swasta, Anwari Hafifi Amer, 30, berkata beliau hanya berbelanja barangan dapur tidak sampai RM100 hari ini.

“Saya beli beberapa ikan, beras, ayam dan telur untuk bekalan ibu dan juga keluarga saya. Harga memang tidak dinafikan memang murah serta menjimatkan.

“Harap JER dapat diteruskan dan pihak PKPS dapat menambah pelbagai lagi barangan pada masa akan datang,” katanya.

Siti Nur Fatihah Razilan

Manakala Siti Nur Fatihah Razilan, 25, turut mengakui kali pertama berkunjung ke JER kerana ia dianjurkan berhampiran dengan rumahnya.

“Hari ini beli barangan asas seperti daging, ikan, beras dan ayam. Anggaran stok ini boleh tahan lebih sebulan memandangkan di rumah saya tidak ramai ahli keluarga.

“Walaupun harga murah barangan ditawarkan juga berkualiti dan segar. Harap dapat dianjurkan lebih kerap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/


Pengarang :