AGENDAJENAYAH

Jurujual aksesori telefon ditahan bersama dadah bernilai lebih RM400,000

GEORGE TOWN, 10 JUN: Polis menahan seorang jurujual aksesori telefon bimbit yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM400,428 dalam serbuan di daerah Timur Laut, di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata polis telah melancarkan Ops Tapis sebelum menahan lelaki berusia 24 tahun itu di kawasan George Town pada 7 malam bersama dadah jenis ketamin 1.22 gram (g) dan empat anak kunci serta kad akses.

“Berpandu maklumat daripada lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Paya Terubung dan pemeriksaan lanjut polis menemui 121 paket plastik berwarna merah jambu dengan setiap paket mengandungi dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang kesemuanya seberat 2,383 g dan bernilai RM397,960.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis ketamin sebanyak 10.94g bernilai RM2,188 dan dua biji pil eramin 5 (RM40), kesemua dadah dirampas di rumah yang disewa lelaki tersebut yang dijadikan tempat menyimpan bahan terlarang bernilai RM400,428 itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang di sini hari ini.

Berdasarkan siasatan, beliau berkata lelaki itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket lain sebelum membungkus semula dalam bungkusan lebih kecil dan dijual kepada pelanggannya di sekitar daerah Timur Laut.

Razlam berkata siasatan juga mendapati lelaki itu yang menjalankan kegiatan tersebut secara sendirian sejak April lepas mampu mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Beliau berkata semua dadah MDMA yang telah siap diproses itu dijual antara RM100 hingga RM200 bagi setiap bungkusan dan pembeli hanya perlu mencampur dengan minuman lain untuk menikmatinya.

Dadah jenis MDMA ini paling popular di pusat-pusat hiburan dan boleh menyebabkan pengambilnya tidak tidur selama 48 jam.

Polis turut menyita sebuah kereta Honda City bernilai RM75,000 dan ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :