Bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Foto arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Kawasan pencarian nelayan hilang diperluas, minta bantuan negara jiran jika perlu

BATU PAHAT, 22 JUN: Maritim Malaysia memperluas kawasan pencarian untuk mengesan empat nelayan yang dilaporkan hilang dalam insiden bot terbalik di perairan Tanjung Segenting semalam.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata sehingga 12 tengah hari Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) diperluas kepada 63 batu nautika.

Beliau berkata Op Carilamat hari ini turut melibatkan dua aset udara milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Untuk sektor udara pencarian nelayan berkenaan merangkumi kawasan seluas 75 batu nautika…namun masih belum ada sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

“Tetapi kami masih percaya dengan keadaan ombak dan cuaca mereka ini masih berada dalam perairan negara,” katanya ketika ditemui di Markas Op Carilamat di Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.

Menurut Mohd Haniff, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan meminta bantuan daripada pasukan penyelamat negara jiran sekiranya perlu.

“Pasukan penyelamat juga ada meletakkan dua aset di pesisir pantai untuk operasi ini,” katanya.

Terdahulu, empat nelayan warga tempatan berusia 43 hingga 63 tahun dilaporkan hilang setelah bot yang mereka naiki terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, di sini 6 pagi semalam.

Op Carilamat yang dilaksanakan semalam meliputi 23 batu nautika.

– BERNAMA

 


Pengarang :