Aksi peserta Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 15 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor medan uji keupayaan pasukan negeri

PETALING JAYA, 16 JUN: Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor yang menutup tirainya semalam menjadi medan menguji keupayaan pasukan negeri sebelum beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada Ogos nanti.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata kejohanan selama tiga hari itu banyak mendedahkan atlet dengan ilmu baharu memandangkan ia disertai pemain muda profesional dari negara lain.

EXCO Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Najwan Halimi bercakap kepada media selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 15 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kali ini pasukan golf Selangor yang bakal menggalas peluang ke SUKMA turut terlibat. Program ini mendedahkan atlet dengan peserta antarabangsa sekali gus mampu menggilap lagi bakat mereka.

“Dalam pasukan itu, lima ke enam pemain akan ke SUKMA di Sarawak. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat namun mereka timba pengalaman kerana padang di sini agak sukar (bermain),” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian hadiah kejohanan berkenaan yang turut hadir Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim (kanan) dan EXCO Sukan Najwan Halimi (kiri) bersama juara pasukan lelaki China ketika majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 15 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Untuk tahun ini, pasukan lelaki China dan wanita Korea Selatan diumum sebagai juara berkumpulan manakala kategori individu lelaki dimenangi Shijun Jing (China) dan wanita Byun Jiyool (Korea Selatan).

Membuka tirai sejak Khamis, kejohanan melibatkan 123 pemain muda berusia 12 hingga 18 tahun dari 12 negara antaranya India, Filipina, Thailand, Indonesia, Australia, Bangladesh, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu.

Beberapa pemain remaja terbaik Malaysia turut beraksi termasuk daripada Persatuan Golf Malaysia, UUM International School Melaka (UUMISM), Akademi Golf PKNS dan SportExcel.

Juara kategori individu lelaki berpeluang menyertai PKNS Selangor Masters dari 19 hingga 22 Jun di venue sama yang menjadi medan penting untuk pemain golf muda menimba pengalaman bersaing dalam kejohanan profesional.


Pengarang :