AGENDANASIONAL

Keracunan makanan, 15 termasuk pengusaha katering beri keterangan

SHAH ALAM, 18 JUN: Seramai 15 individu termasuk pengusaha katering diambil keterangan semalam bagi membantu siasatan kes dua maut disyaki akibat keracunan makanan di Gombak, baru-baru ini.

Mereka yang terlibat melibatkan penganjur, ahli jawatankuasa, pengetua dan penyedia makanan, kata Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, lapor Harian Metro.

“Mangsa lain yang mengalami keracunan makanan pula dalam tindakan untuk merakam percakapan mereka hari ini,” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja 17 tahun dan budak perempuan dua tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng daripada program sebuah sekolah di Gombak.

Difahamkan, mangsa pertama memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya dan mengalami cirit-birit, manakala mangsa kedua anak kepada seorang pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan melaksana siasatan terperinci berhubung dua kematian itu.

Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pagi dalam program berkenaan.

Pada 15 Jun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kejadian yang berlaku di Gombak disebabkan bakteria Salmonella.


Pengarang :