AGENDANASIONAL

Keracunan makanan: Lapan individu termasuk pembekal diambil keterangan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Lapan individu diambil keterangan dalam siasatan kes kematian remaja lelaki berusaha 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur dua tahun disyaki akibat keracunan makanan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata ia melibatkan keterangan daripada keluarga remaja dan kanak-kanak berkenaan, serta pembekal makanan kepada sekolah agama terlibat di Gombak, sejak hari kejadian.

Beliau berkata polis juga sedang mengenal pasti individu lain yang mengalami keracunan makanan akibat menjamah makanan pada program yang dianjurkan di sekolah agama berkenaan.

“Polis juga akan memanggil penganjur program, pengetua sekolah dan lain-lain individu yang terlibat dalam penyediaan makanan itu dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin dalam kenyataannya memaklumkan 82 individu yang hadir dalam program berkenaan mengalami gejala berkaitan keracunan makanan.

– BERNAMA


Pengarang :