Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 10 Jun 2024. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Kerajaan tingkat infrastruktur, mutu perkhidmatan pengangkutan awam

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Sebagaimana matlamat rasionalisasi subsidi, kerajaan kini giat memfokus kepada usaha meningkatkan jaringan, infrastruktur dan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu dibincang pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Bilangan 4 Tahun 2024 hari ini yang antara lain meneliti kertas Pemerkasaan Industri Kereta Api dengan perbincangan terarah kepada kepentingan pelaksanaan segera rasionalisasi industri kereta api negara berdasarkan objektif Akta Keretapi 1991 (Akta 463).

“Mesyuarat turut memperincikan langkah-langkah dalam memastikan perkhidmatan KTM Komuter, tren laju antara bandar dan Ekspres Timuran oleh KTM Berhad dapat memenuhi keperluan kekerapan dan jumlah penumpang semasa serta jangkaan masa hadapan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menekankan kepentingan isu-isu dasar dan pelaksanaan bagi setiap keputusan diselesaikan segera.

Beliau berkata ia bagi memastikan objektif serta kesan ekonomi dan sosial yang dihasratkan kerajaan dapat dirasai oleh rakyat mengikut jadual termasuk kesalinghubungan di bawah kerangka Malaysia MADANI dan Ekonomi MADANI.

Turut dibincang perkembangan semasa susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung yang bermula hari ini dan mesyuarat dimaklumkan mengenai peningkatan mendadak jumlah permohonan bantuan tunai BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi yang dilaksanakan melaluIi https://budimadani.gov.my.

Perdana Menteri berkata kumpulan pertama individu yang layak akan menerima RM200 yang dideposit ke akaun bank mereka mulai hari ini.

— BERNAMA


Pengarang :