AGENDANASIONAL

Kes demam denggi turun, tiada kematian dilaporkan minggu lepas

PUTRAJAYA, 15 JUN: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 2,508 kes pada Minggu Epidemiologi ke-23 (ME23) iaitu bagi tempoh 2 hingga 8 Jun lepas berbanding 2,522 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Dalam kenyataan mengenai situasi demam denggi di Malaysia hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME23.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME23 adalah sebanyak 67,137 kes berbanding 51,331 kes bagi tempoh sama 2023.

“Terdapat 48 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 37 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023,” katanya

Sementara itu, beliau berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME23 adalah sebanyak 71 lokaliti berbanding 74 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Dari 71 lokaliti yang dilaporkan, 53 lokaliti di Selangor, tujuh lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat di Kedah, tiga di Perak, dua Pulau Pinang manakala satu di Negeri Sembilan dan Sarawak.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata terdapat tiga kes direkodkan pada ME23 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini 34 kes.

“Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada ME23,” katanya.

Mengenai survelan zika, beliau berkata sebanyak 1,149 sampel darah, enam sampel urin dan dua sampel cairan tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya negatif.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dan bekerjasama dalam memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran premis.

“Komuniti disarankan supaya melakukan aktiviti gotong-royong bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan Aedes secara berkala,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :