Orang ramai hadir pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Konsep festival turath dikembangkan, sebar luas ilmu warisan Islam

SHAH ALAM, 1 JUN: Konsep Festival Turath Islami Selangor tahun depan akan dikembangkan dengan tidak hanya menumpu kepada kupasan satu-satu tokoh.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia diharap dapat memberi nilai tambah dalam menyebar luas usaha pengajian ilmu kitab turath Islam.

“Insya-Allah tahun depan kita akan menukar (kembangkan) konsepnya (Festival Turath Islami Selangor) daripada menumpukan (kepada) satu-satu tokoh (seperti tahun ini) kepada membentangkan (membawa) madrasah-madrasah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terkenal setakat ini kita telah kenal pasti tiga termasuk di Mesir dan Tarim, Yaman,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan pembukaan perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu As Salihin yang disempurnakan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin berkata Selangor bersedia mengambil peranan menghidupkan dan mengembangkan warisan turun-temurun Islam dalam pelbagai perkara termasuk perpaduan.

“Insya-Allah dalam hasrat dan tekad kita ingin menjadikan program ini (festival turath) bukan program ‘touch n go’ (datang dan pergi) atau ‘one off’ (sekali) kerana ia acara berterusan,” katanya.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei hingga esok mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam melibatkan ulama tradisional dan ahli akademik.

Berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, festival itu turut menyediakan Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Turut dipamer dalam pameran itu ialah naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800.

Festival menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang mengupas Kitab Hadis 40 Imam Nawawi.


Pengarang :