Kumpulan nasyid Rabbani turut menghiburkan peserta sempena Konsert Alunan Mahabbah di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Konsert Alunan Mahabbah di festival turath gamit ribuan peserta

SHAH ALAM, 2 JUN: Ribuan peserta hadir ke Konsert Alunan Mahabbah sempena Festival Turath Islami Selangor di Dataran Karnival Stadium Shah Alam malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah hadir memeriahkan program qasidah dan selawat berkenaan.

Acara dimulakan dengan nyanyian kumpulan nasyid terkenal, Rabbani dan alunan qasidah dari kumpulan Nur Ahli Badar.

Dr Ali Jum’ah turut menyampaikan tausiyah yang mengulas hadis yang diriwayatkan Imam Al-Hakim mengenai martabat Rasulullah SAW yang sangat istimewa di sisi Allah SWT.

Bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad menyampaikan tausiyah sempena Konsert Alunan Mahabbah di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Acara kemuncak menyaksikan kumpulan Ikhwah Abu Shaar Brothers mendendangkan alunan qasidah memuji kebesaran Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad.

Kesemua peserta dilihat turut serta berqasidah dan berselawat yang dipimpin oleh kumpulan nasyid terkenal dari Syria itu.

Orang ramai turut berqasidah dan berselawat bersama ketika Konsert Alunan Mahabbah di Dataran Karnival Stadium Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei hingga esok mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam melibatkan ulama tradisional dan ahli akademik.

Berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, acara itu turut menyediakan Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Turut dipamer dalam pameran itu ialah naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800.


Pengarang :