Penduduk Palestin yang dipindahkan menunggu untuk menerima bekalan makanan yang semakin berkurangan susulan konflik berterusan antara Israel dan Hamas di Rafah, Semenanjung Gaza pada 27 Februari 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Konvoi bantuan diserang, dihalang masuk Gaza, pelaku tidak dikenakan tindakan

ISTANBUL, 8 JUN: Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat mengatakan konvoi bantuan kemanusiaan diserang dan dirompak tanpa pelaku dihadapkan ke muka pengadilan, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Philippe Lazzarini berkata konvoi bantuan kemanusiaan juga dihalang daripada memasuki Gaza.

“Sudah tiba masanya untuk penyiasatan bebas dan akauntabiliti,” kata Lazzarini.

Beliau menyeru agar wartawan antarabangsa dibenarkan masuk ke Gaza untuk menyokong rakan-rakan Palestin mereka “supaya laporan yang bebas, faktual dan berani dapat diteruskan.”

Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menuntut gencatan senjata segera.

Lebih 36,700 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak, dan lebih 83,500 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Lapan bulan memasuki perang Israel, kawasan luas di Gaza hancur di tengah-tengah sekatan yang melumpuhkan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang keputusan terbarunya mengarahkan Tel Aviv supaya segera menghentikan operasinya di bandar selatan Rafah, yang lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :