EXCO Perumahan Borhan Aman Shah bersama peserta Program Seminar Pemantapan Pengurusan Bangunan Kediaman Berstrata (c-smart) Siri 2 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Midland, Seksyen 7 Shah Alam pada 12 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

KPKT disaran sedia dana, geran selenggara infrastruktur kediaman strata

SHAH ALAM, 12 JUN: Badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan bersama (MC) kediaman strata perlu diberi dana atau geran tinggi supaya mampu menyelenggara kemudahan asas penduduk.

EXCO perumahan berkata menerusi langkah itu, keperluan penduduk antaranya lif, sistem saliran serta infrastruktur lain dapat berfungsi lebih baik sekali gus menjamin keselesaan penghuni.

Jelas Borhan Aman Shah, pihak JMB dan MC juga perlu didedahkan dengan inisiatif pembangunan seperti latihan berkala atau bengkel supaya mereka dapat memahami tanggungjawab selain mampu mengurus kewangan dan penyelenggaraan lebih efektif.

“Ini antara cadangan yang kita kemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya mereka dapat meneliti semula Akta 757 dengan mengambil kira isu kebajikan ahli JMB, MC.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berucap pada Program Seminar Pemantapan Pengurusan Bangunan Kediaman Berstrata (c-smart) Siri 2 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Midland, Seksyen 7 Shah Alam pada 12 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Cadangan ini adalah hasil dapatan selepas membuat sesi pemukiman dan merupakan langkah memantapkan lagi pengurusan strata. Kajian semula ini penting untuk memastikan undang-undang dan peraturan sedia ada terus relevan dan efektif dalam mengurus cabaran baharu,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan seminar pemantapan pengurusan bangunan kediaman strata Selangor @SMART 2024 dihadiri hampir 250 wakil JMB dan MC selain wakil pihak berkuasa tempatan dan KPKT.

Borhan berkata pihaknya turut mencadangkan supaya ahli JMB dan MC turut dilindungi insurans atau diberikan pakej khas bagi membolehkan mereka melaksana tugas tanpa tekanan dan berkesan.

“Kita berharap KPKT dapat memperkenalkan teknologi baru dan inovasi termasuk penggunaan aplikasi mudah alih dan sistem pengurusan digital yang boleh memudahkan urusan serta meningkatkan kecekapan pengurusan,” katanya.

Antara peserta Program Seminar Pemantapan Pengurusan Bangunan Kediaman Berstrata (c-smart) Siri 2 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Midland, Seksyen 7 Shah Alam pada 12 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :