Aksi Pemain Harimau Malaya melawan Taiwan Ketika perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2024. Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Kyrgyzstan lebur impian Malaysia layak pusingan tiga kelayakan Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Harapan Malaysia mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 lebur selepas Kyrgyzstan mengikat Oman 1-1 di Muscat awal pagi tadi.

Selepas berakhirnya saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Oman muncul juara dengan 13 mata, diikuti Kyrgyzstan di tempat kedua (11 mata), Malaysia ketiga (10 mata) dan Taiwan tercorot tanpa mata.

Kegagalan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menyaksikan skuad Harimau Malaya perlu mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dalam usaha membuat penampilan kedua berturut-turut dalam pertandingan itu.

Terdahulu, Malaysia mengekalkan harapan tipis untuk layak buat julung kali ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia selepas menewaskan Taiwan 3-1 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon terpaksa mengharapkan Oman menewaskan Kyrgyzstan sekurang-kurangnya 7-0 untuk membolehkan Malaysia memintas kedudukan kedua berdasarkan jumlah perbezaan jaringan.

Bagaimanapun, Kyrgyzstan mengejutkan Oman menerusi gol pembukaan Eldiyar Zarypbekov sebelum jaringan sendiri penjaga gol Erzhan Tokotayev memaksa kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata pada pertembungan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos itu.

— BERNAMA


Pengarang :