Upacara ‘flag off’ Ampang Jaya Night Run 2019 disempurnakan oleh Adun Hulu Kelang, Saari Sungib. – Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Larian Malam Geopark Ampang Jaya tawar wang tunai lebih RM5,000

SHAH ALAM, 12 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menawar ganjaran wang tunai lebih RM5,000 kepada peserta Larian Malam Geopark Ampang Jaya pada 29 Jun ini.

Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariatnya memaklumkan pendaftaran bagi acara tahunan kali ketujuh itu masih dibuka dengan 2,200 penyertaan diterima setakat ini.

“Geopark Ampang Jaya Night Run yang sebelum ini dikenali sebagai Ampang Jaya Night Run mencatatkan penyertaan seramai 2,500 peserta tahun lalu.

“Acara berkonsepkan larian malam di bandar Ampang diteruskan lagi tahun ini untuk kita terus mengeratkan hubungan antara MPAJ dan komuniti,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, enam kategori dipertandingkan iaitu larian santai 5 kilometer (km), larian santai 5km berkumpulan (empat orang), 12km lelaki dan perempuan, serta 12km lelaki dan perempuan veteran.

Dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati bermula jam 9 malam, acara turut diserikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/event/34256/geopark-ampang-jaya-night-run-2024. Untuk maklumat lanjut, ikuti laman sosial MPAJ dan Ampang Jaya Night Run.

 


Pengarang :