Anggota tentera Malaysia dan Amerika Syarikat menyertai Eksesais Tiger Strike Malaysia-Amerika Syarikat 2024 di Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Kem Sri Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus pada 5 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Latihan bersama tentera Malaysia, Amerika Syarikat tingkat keupayaan operasi

KUALA NERUS, 5 JUN: Eksesais Tiger Strike 2024 melibatkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) berjaya meningkatkan keupayaan operasi dan kemampuan saling kendali antara kedua-dua negara.

Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata latihan selama lapan hari bermula 29 Mei lepas telah dilaksanakan dengan teliti melibatkan 117 pegawai dan 676 anggota lain-lain pangkat daripada pelbagai unit utama kedua-dua pasukan.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu kesemua pegawai dan anggota menjalani latihan komprehensif merangkumi fasa pengurusan staf dan pelaksanaan latihan, fasa latihan medan dan taktikal serta fasa kajian selepas tindakan.

“Latihan ini adalah bilateral… hubungan dua hala yang dilaksanakan setiap tahun. Kita adakan latihan bersama dengan pasukan dari Amerika Syarikat kerana mereka memiliki pengalaman, platform dan juga keupayaan untuk laksanakan operasi.

“Yang paling mustahak ialah selain mempelajari aspek operasi dan strategik, setiap anggota kita yang terlibat, mereka boleh menggunakan ilmu itu untuk melatih anggota kita yang lain. Dalam dunia hari ini kita tidak boleh bekerja sendirian, sebab itu ada kerjasama dengan pasukan Amerika Syarikat seperti hari ini,” katanya pada sidang media selepas Acara Penutup Eksesais Tiger Strike 2024 di Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini hari ini. — LAGI

Tengku Mohd Fauzi pula berkata Eksesais Tiger 2024 yang dilaksanakan di lokasi strategik sekitar Kem Sri Pantai kali ini melibatkan penggunaan aset ketenteraan canggih termasuk helikopter CH-53USMC, kapal pendarat amfibia LCAC serta kapal tempur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau berkata latihan ditumpukan terhadap pelbagai aspek operasi termasuk pertukaran kemahiran dan kepakaran (SMEE), latihan pos perintah (CPX) dan latihan medan (FTX).

“Latihan yang dirancang dengan teliti ini menyediakan pengalaman amat bernilai dalam mengendalikan situasi tempur yang sebenar,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :