AGENDAJENAYAH

Lelaki bungkus kucing dalam guni, buang ke sungai dicari

GEORGE TOWN, 1 JUN: Polis sedang mengesan suspek kes kucing dibungkus dalam guni dan dibuang ke sungai di Jalan Kota Giam, Jelutong, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid ketika dihubungi berkata pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Sebelum ini tular di media sosial video berdurasi 66 saat memaparkan beberapa individu mengambil sebuah guni dari dalam sungai dan mendapati terdapat bangkai kucing dalam guni yang berikat itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata kejadian seumpama itu bukan kali pertama dan pihaknya menerima maklumat berkaitan insiden sama beberapa kali sebelum ini.

Bagi kes kali ini, beliau berkata pihaknya dimaklumkan individu yang mengaku melihat lelaki yang juga penduduk di kawasan itu, membuang guni berisi seekor kucing hidup ke dalam sungai 8.30 pagi semalam.

“Perbuatan zalim kali ini berlaku di tempat sama kerana sebelum ini pernah juga berlaku, namun (kali ini) sempat ditonton oleh saksi yang selama ini tertanya-tanya siapakah yang sering bungkus kucing dalam guni berikat dan lempar ke sungai sehingga kucing mati,” katanya.

Beliau berkata individu berkenaan yang juga wakil persatuan itu di Pulau Pinang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

– BERNAMA


Pengarang :