Lembaga Zakat Selangor menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa maut disyaki akibat keracunan makanan di Gombak pada 14 Jun 2024. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS hulur bantuan, santuni keluarga dua mangsa maut akibat keracunan makanan

SHAH ALAM, 16 JUN: Keluarga dua mangsa maut disyaki akibat keracunan makanan di Gombak baru-baru ini menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jumaat lalu.

Agensi itu memaklumkan bantuan tunai kecemasan disalurkan kepada waris bagi mengurangkan beban mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang.

“Keluarga mangsa amat berdukacita atas kejadian yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib bagi menyiasat punca sebenar kejadian.

“Mangsa remaja 17 tahun adalah anak bongsu daripada tiga beradik manakala mangsa kanak-kanak berusia dua tahun adalah anak kedua daripada dua beradik dan masing-masing tidak mempunyai sejarah sakit kronik dan aktif,” katanya di Facebook.

Lembaga Zakat Selangor menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa maut disyaki akibat keracunan makanan di Gombak pada 14 Jun 2024. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor

Dalam kejadian pada 9 Jun, seorang remaja 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut, dipercayai akibat keracunan selepas makan bihun dan telur goreng yang dibawa pulang dari program sebuah sekolah di Gombak.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan melaksanakan siasatan terperinci berhubung dua kematian itu.

Setakat 12 Jun lalu Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin berkata lapan individu diambil keterangan dalam siasatan kes berkenaan.


Pengarang :