Wanita warga Palestin Nozha Awad melarikan diri bersama tiga anak kembarnya dari hospital Al Shifa berikutan serbuan Israel pada 21 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Malaysia seru sokong usaha Amerika Syarikat tamatkan kekejaman di Palestin

PUTRAJAYA, 3 JUN: Malaysia menyeru pihak berkaitan untuk menerima dan berusaha ke arah pelaksanaan penuh cadangan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, untuk menamatkan kekejaman Israel di Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata cadangan itu adalah jalan ke hadapan terbaik untuk menamatkan malapetaka yang sedang berlaku di Gaza dan pengunduran penuh tentera Israel dari Wilayah Palestin.

“Malaysia secara konsisten menyeru gencatan senjata kekal dan berkesan untuk membawa penghentian segera kepada pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza.

“Dalam konteks ini, cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan daripada kedua-dua belah pihak, usaha ke arah pengakhiran kekal permusuhan, dan pelan pembinaan semula menyeluruh untuk Palestin adalah langkah ke arah yang betul,” katanya.

Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza.

Ia menekankan bahawa sokongan teguh dan solidariti penuh Malaysia dengan rakyat Palestin tetap tidak berbelah bahagi, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Biden pada 31 Mei lalu membentangkan perjanjian tiga fasa yang dicadangkan Israel kepada wakil Palestin, Hamas yang menurutnya akan menamatkan permusuhan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di enklaf pantai itu.

Hamas dilaporkan berkata ia akan “memberi respons positif kepada sebarang cadangan merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan penuh dari Semenanjung Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan orang yang dipindahkan, dan penyelesaian pertukaran tawanan yang menyeluruh”.

– BERNAMA


Pengarang :