EXCO Agama Dr Fahmi Ngah meninjau aktiviti penduduk Laman Glenmarie melapah daging korban pada sambutan hari raya Aidiladha di Surau Al Bukhary Laman Glenmarie, Shah Alam pada 17 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Masjid, surau wadah penyatuan, perpaduan ummah, laksana program kemasyarakatan

SHAH ALAM, 17 JUN: Masjid dan surau seluruh negeri disaran melaksana program kemasyarakatan bagi memastikan institusi itu terus berperanan sebagai wadah penyatuan ummah, kata EXCO agama.

Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata program gotong-royong korban sempena Aidiladha antaranya menepati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar masjid menjadi pusat penyatuan dan perpaduan ummah.

“Program begini sangat baik untuk memupuk perpaduan dan inilah dititahkan Sultan Selangor agar masjid dan surau jadi pusat perpaduan dan penyatuan ummah.

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah meninjau aktiviti penduduk Laman Glenmarie pada sambutan Aidiladha di Surau Al Bukhary Laman Glenmarie , Shah Alam pada 17 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Ia sangat membantu mengeratkan perpaduan dalam komuniti dan mewujudkan suasana muhibah. Inilah semangat baik yang perlu diterapkan dalam seluruh masjid dan surau di Selangor,” katanya.

Ditemui selepas meninjau program ibadah korban di Surau Al-Bukhary Laman Glenmarie di sini, beliau yang juga wakil rakyat Seri Setia berkata 20 ekor kambing dan 10 lembu disumbang ke beberapa masjid dan surau sekitar kawasan itu sempena Aidiladha tahun ini.

“Selain sumbangan Kerajaan Negeri ada juga sumbangan daripada pihak swasta bagi Aidiladha tahun ini,” katanya.

Sempena Aidiladha tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban, membabitkan 1,000 kambing dan 700 lembu.

Haiwan berkenaan diagih kepada wakil rakyat, masjid, surau dan badan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :