Bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM). Foto arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Mayat kedua bot nelayan terbalik ditemukan terdampar di Pantai Koris

BATU PAHAT, 23 JUN: Mayat kedua mangsa insiden bot nelayan terbalik yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Segenting di sini ditemukan terdampar di Pantai Koris, Senggarang oleh orang awam pada 11.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yusuf berkata mayat Tan Hai Lian, 62, kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) yang memasuki hari ketiga menetapkan sektor pencarian merangkumi keluasan 129 batu nautika di laut dan keluasan 104 batu nautika oleh pesawat udara dan dimulakan pada 7 pagi.

“Terdahulu, empat nelayan dilaporkan hilang dan seorang berjaya diselamatkan oleh nelayan lain setelah bot yang mereka naiki terbalik akibat cuaca buruk Jumaat lepas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, mayat tekong iaitu Chiah Kah Chong, 53, ditemukan pada 7 malam oleh nelayan yang kebetulan lalu di kawasan berhampiran bot dilaporkan terbalik.

– BERNAMA


Pengarang :