Bakal jemaah haji bergambar selepas selesai menerima insentif Haji Muassasah di Masjid Al-Amaniah Gombak pada 20 Julai 2017. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI agih RM3 juta insentif haji kepada 3,000 jemaah, permohonan masih dibuka

SABAK BERNAM, 7 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sudah mengagihkan RM3 juta peruntukan Insentif Haji Muassasah kepada 3,000 jemaaah setakat ini.

Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporat berkata setiap jemaah menerima wang tunai RM1,000, meningkat RM500 berbanding sebelum ini selain kit penjagaan diri.

“Tahun ini kita peruntuk bantuan kepada 6,000 jemaah dan separuh sudah menerimanya. Permohonan menggalakkan disebabkan sebaran meluas selain peningkatan nilai bantuan.

“Permohonan dibuka sehingga 24 Ogos ini. Jemaah yang sudah pergi juga masih boleh memohon dengan pergi ke pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) masing-masing,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan baucar kepada penerima pada pogram Serahan Bantuan Kembali ke Sekolah di Pejabat Penyelaras DUN Sabak, Balai Raya Taman Berjaya, Sabak Bernam pada 7 Jun 2024. Turut sama Penyelaras DUN Sabak Samad Hashim (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tahun ini Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi pelaksanaan skim berkenaan, meningkat tiga kali ganda berbanding jumlah insentif tahun lalu iaitu RM1.5 juta.

Pentadbiran turut membelanjakan RM1.2 juta bagi membiayai kos perjalanan 36 jemaah menunaikan haji secara percuma.

Ditemui pada majlis serahan bantuan Program Kembali Ke Sekolah DUN Sabak, Ahmad Azri menggalakkan orang ramai memohon Skim Insurans Am Selangor(INSAN) Takaful memandangkan jumlah kuota masih banyak.

Beliau berkata perlindungan selama setahun itu bakal dibuka sehingga Ogos depan, justeru rakyat harus memanfaatkan peluang terbabit.

“INSAN memanfaatkan enam juta penduduk dari usia 30 hari hingga 80 tahun manakala INSAN Takaful melibatkan dua juta. Untuk takaful, masih berbaki sejuta.

“Kita galakkan penduduk segera daftar supaya mereka dilindungi jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

INSAN diperkenal pada 2022 memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang upaya kekal dan kematian disebabkan kemalangan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap pada program Serahan Bantuan Kembali ke Sekolah di Pejabat Penyelaras DUN Sabak, Balai Raya Taman Berjaya, Sabak Bernam pada 7 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :