Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bercakap ketika sidang media selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-12 di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 6 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA: Kadar baharu cukai lepas 18 tahun, bantahan diterima hingga 14 Jun

SHAH ALAM, 12 JUN: Orang ramai masih boleh mengemukakan bantahan kadar baharu cukai taksiran kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum tempoh akhir pada 14 Jun.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata penilaian semula yang dibuat selepas 18 tahun bagi memastikan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan itu kepada rakyat terus efisien.

Menjelaskan kadar baharu tidak melebihi 25 peratus, jelasnya, sebanyak 1,990 bantahan diterima daripada pemilik harta berhubung kadar baharu mulai Januari tahun depan.

“Ada tidak bersetuju dengan kenaikan cukai taksiran tetapi sebenarnya MBSA memerlukan kewangan kukuh dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita memerlukannya (cukai). Kenaikan tidak melebihi 25 peratus daripada cukai lama tetapi kita terima bantahan dan akan panggil pemilik hartanah untuk sesi pendengaran,” katanya.

Mohd Fauzi menambah pihaknya juga sedia bertemu pemilik harta yang membantah kadar baharu itu dalam sesi pendengaran khas yang akan diadakan selepas tempoh bantahan berakhir.

Kadar itu melibatkan kediaman, perdagangan, perindustrian dan tanah kosong (pertanian), manakala rumah ibadat, sekolah dan premis awam yang bukan bermotif keuntungan menerima pengecualian.

 


Pengarang :