Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim pada Program Gerobok Rezeki MBSA 2024 di Masjid Baitul Mahabbah, Seksyen 27, Shah Alam pada 06 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA sedia dengar bantahan pemilik hartanah, kadar tidak naik 19 tahun

SHAH ALAM, 6 JUN: Sesi pendengaran bersama pemilik hartanah di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diadakan selepas tempoh bantahan berakhir pada 14 Jun.

Menjelaskan cukai taksiran tidak naik selama 19 tahun, Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata MBSA sedia bertemu kelompok yang membantah kadar baharu itu.

“Ada tidak bersetuju dengan kenaikan cukai taksiran tetapi sebenarnya MBSA memerlukan kewangan kukuh dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita memerlukannya (cukai). Kenaikan tidak melebihi 25 peratus daripada cukai lama tetapi kita terima bantahan dan akan panggil pemilik hartanah untuk sesi pendengaran,” katanya.

Mohd Fauzi yang ditemui dalam satu program di Seksyen 27 di sini memberitahu MBSA menerima 1,990 bantahan daripada pemilik harta antara 9 Mei hingga kelmarin.

Sebelum ini, MBSA memaklumkan pemiklik hartanah di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan tersebut mula membayar cukai pada kadar baharu mulai Januari tahun depan.

Kadar tidak melebihi 25 peratus daripada kadar cukai lama itu melibatkan semua kategori harta iaitu kediaman, perdagangan, perindustrian dan tanah kosong (pertanian).

Rumah ibadat, sekolah dan premis awam yang bukan bermotif keuntungan menerima pengecualian.

Pemilik hartanah boleh merujuk paparan video di pautan ini untuk penjelasan lanjut.


Pengarang :