Pasukan bola sepak wanita MBSJ FC bersorak selepas menjuarai perlawanan akhir Liga Super Wanita 2024 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 9 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

MBSJ FC juara Liga Super Wanita FAS, benam UiTM United Lioness 3-0

SUBANG JAYA, 10 JUN: Pasukan Bolasepak MBSJ (MBSJ FC) mempertahankan kejuaraan Liga Super Wanita FAS 2024 selepas menewaskan UiTM United Lioness 3-0 dalam aksi akhir di Stadium Arena MBSJ di sini, malam tadi.

Lee Xin Yi membuka jaringan di minit ke-25, diikti Waitie Taming (32) dan Intan Sarah (34) pada separuh masa pertama.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama pasukan bola sepak wanita MBSJ FC ketika meraikan kemenangan perlawanan akhir Liga Super Wanita 2024 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 9 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan dan menyempurnakan majlis penyampaian trofi dan hadiah.

MBSJ FC membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta piala manakala UITM United Lioness menerima wang tunai RM7,000 serta medal.

Sementara itu, jurulatih MBSJ FC Mohd Fairuz Mohd Noor berkata kejayaan pasukannya mempertahankan kejuaraan hasil komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain sepanjang kejohanan.

Jurulatih MBSJ FC Mohd Fairuz Mohd Noor bercakap kepada Media Selangor selepas perlawanan akhir Liga Super Wanita 2024 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 9 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Fairuz turut menyasarkan pasukannya untuk mewakili Selangor menyertai kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (TSR) pada musim ini.

“Perasaan yang tidak dapat digambarkan dapat kekalkan kejuaraan, saya bangga dengan pemain yang beri komitmen hingga 150 peratus.

“Seterusnya saya berharap impian untuk beraksi di TSR jadi kenyataan memandangkan perbincangan dengan pengurusan untuk sertai kejohanan positif,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bagi kapten pasukan MBSJ FC Steffi Sarge Kaur, berasa bangga dapat mengemudi pasukan sehingga bergelar juara buat dua musim berturut-turut.

Kapten MBSJ FC Steffi Sarge Kaur

“Kami berhak juara dengan menguasai sepanjang permainan. Tiga kunci kejayaan adalah kerjasama pasukan, disiplin dan komitmen pemain hingga 200 peratus,” katanya.

Terdahulu, pada aksi akhir Piala Konfederasi 2024 pasukan SA United menundukkan Real CJ dengan jaringan 1-0 di venue sama.

Berikut adalah senarai penerima anugerah kejohanan yang disampaikan oleh Tengku Amir Shah:

  • Anugerah Kasut Emas – Intan Sarah: 19 gol (MBSJ FC)
  • Anugerah Pemain Paling Bernilai – Intan Sarah (MBSJ FC)
  • Anugerah Golden Glove – Amyra Fariesha: 5 clean sheets (SSS Leapord)
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan piala ketika perlawanan akhir Liga Super Wanita 2024 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 9 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :