Jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah malam 8 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Menteri haji: Lebih 1.2 juta jemaah haji tiba di Arab Saudi setakat ini

RIYADH, 7 JUN: Lebih 1.2 juta jemaah haji dari seluruh dunia telah tiba di Arab Saudi setakat ini bagi musim haji 1445H, menurut Saudi Press Agency (SPA).

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah dalam sidang media berkata jemaah berkenaan dilaporkan telah melengkapkan prosedur kemasukan ke negara itu dengan mudah selain mempunyai keadaan kesihatan yang baik serta tahap kepuasan yang tinggi.

Beliau menyatakan kejayaan itu adalah hasil “pertolongan Allah” diikuti oleh “sokongan tanpa had kepimpinan yang bijaksana” dan “usaha ikhlas wira-wira sektor yang berkhidmat kepada jemaah”.

Dr Al-Rabiah menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi untuk berkhidmat kepada jemaah, didorong oleh arahan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi dan Perdana Menteri Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud untuk menyediakan tahap penjagaan tertinggi kepada jemaah, termasuk untuk memudahkan ketibaan mereka ke dua masjid suci dan tempat suci serta melaksanakan ibadah dengan mudah.

Beliau berkata perkara itu dimanifestasikan melalui persiapan awal termasuk meneliti semula perancangan, projek dan inisiatif, sejak berakhirnya musim haji 1444H.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk semua jemaah mematuhi peraturan dan arahan bagi memastikan pengalaman haji yang lancar dan memuaskan untuk semua.

Untuk tujuan itu, kementerian telah melancarkan pendekatan pelbagai serampang. Kempen antarabangsa yang merangkumi lebih 20 negara mendidik jemaah tentang bahaya melanggar peraturan haji, amalan penipuan dan kempen palsu.

Kempen nasional, “Tiada Haji Tanpa Permit,” mengukuhkan peraturan dan memastikan pengalaman haji yang lancar dan teratur bagi semua jemaah yang mengikuti prosedur yang betul, menurut SPA.

Selain itu, menteri menekankan kejayaan berterusan Inisiatif Laluan Makkah, yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri dan beroperasi di tujuh negara melalui 11 lapangan terbang. Ia telah memudahkan ketibaan lebih 250,000 jemaah tahun ini.

Dr Al-Rabiah juga menyatakan bahawa sepanjang beberapa bulan yang lepas, program latihan intensif telah dijalankan untuk lebih 120,000 pekerja dan ketua kumpulan jemaah.

Bengkel itu yang diadakan dalam pelbagai bahasa di dalam dan luar negara, melengkapkan petugas dengan kemahiran yang diperlukan untuk memberikan tahap hospitaliti dan perkhidmatan tertinggi kepada semua jemaah.

– BERNAMA-SPA

 


Pengarang :