BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Minat sains merosot, negara berdepan krisis tenaga kerja mahir

Kebelakangan ini kita digemparkan dengan dua jenis berita yang berkaitan iaitu minat terhadap bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) semakin merosot dan negara kita masih kekurangan jurutera dan saintis.

Isu ini bukan perkara baru, malah telah dibangkitkan beberapa tahun lepas. Saban tahun, isu ini sering diketengahkan.

Sejak dari 2012 hingga 2022, pelajar yang mengikuti aliran sains jatuh dari 48 peratus kepada 40.9 peratus.

Pada tahun lepas, sebanyak 15.2 peratus sahaja pelajar tingkatan tiga yang memilih aliran sains untuk ke tingkatan empat.

Sejak dari 1967 lagi kerajaan mensasarkan sebanyak 60 peratus pelajar untuk mengikuti aliran sains, 40 peratus lagi mengikuti aliran sastera dan kemanusiaan. Tetapi sasaran ini tidak tercapai, malah merosot.

Kebimbangan yang ditimbulkan oleh pihak kerajaan berkenaan hal ini ada asasnya. Kurangnya pelajar yang mengambil aliran sains akan menatijahkan negara kita kekurangan orang berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal di masa hadapan.

Suatu hari nanti negara kita akan berhadapan dengan krisis kekurangan tenaga kerja profesional.

Apakah puncanya perkara ini terjadi? Banyak kajian dan tinjauan telah dibuat. Punca utamanya berkait dengan minat dan seputar hal pekerjaan.

Tidak dapat tidak, pelajar memilih suatu bidang dengan harapan bidang tersebut memberikan murid peluang pekerjaan yang cerah.

Ramai murid tidak memilih aliran sains kerana mereka tidak jelas masa depan dalam bidang sains.

Mereka tidak mengetahui peluang pekerjaan yang boleh diceburi apabila memilih bidang sains. Tuntas, tidak berminat untuk masuk ke aliran sains.

Tidak cukup sekadar itu, bidang sains sering dimomokkan sebagai bidang yang susah dan tidak menarik. Lebih-lebih lagi subjek fizik dan matematik tambahan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam menunjukkan demostrasi reaksi masa (time reaction) selepas Majlis perasmian Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Karnival Eksplorasi STEM Negeri Selangor 2023/2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 29 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tidak setimpal

Idea matematik tambahan merupakan subjek paling susah sudah mula menghantui murid sejak zaman saya bersekolah lagi iaitu lebih 10 tahun lalu. Stigma ini sedikit banyak menyumbang kepada pengurangan kemasukan murid ke aliran sains.

Selain itu, STEM sebagai subjek yang susah juga boleh membawa kepada kemerosotan prestasi murid. Kajian mendapati, persepsi kita terhadap suatu subjek mempengaruhi prestasi kita.

Lazimnya, subjek yang kita anggap susah membuatkan kita tidak minat dengan subjek tersebut. Tidak minat akan memberikan impak kepada prestasi pula.

Natijahnya, prestasi subjek STEM yang lemah tidak akan membawa murid untuk menyambung bidang STEM di peringkat pengajian tinggi.

Kajian juga mendapati murid yang memasuki aliran sains dan cemerlang dalam subjek STEM pun tidak menjamin mereka menyambung bidang STEM ke peringkat pengajian tinggi.

Ia mungkin dipengaruhi oleh faktor minat ataupun tidak jelas dengan hala tuju pekerjaan dalam bidang STEM.

Berbalik kepada isu pekerjaan tadi, terdapat juga isu pendapat dalam bidang STEM tidak begitu memberangsangkan.

Isu ini telah dibangkitkan sejak sekian lama yang mana gaji bidang STEM tidak setimpal dengan tahap dan tempoh masa bekerja yang kadangkala melebihi masa.

Lazimnya isu pendapat tidak setimpal ini tertumpu pada pekerjaan sebagai jurutera.

Menyentuh tentang jurutera, terdapat isu lain yang boleh kita ketengahkan. Jika kita telusuri perbualan netizen, sebahagian mereka berpendapat isu merosotnya kemasukan murid ke aliran STEM kerana peluang pekerjaan dalam bidang ini tidak begitu tinggi.

Realitinya, jika kita lihat di laman cari kerja seperti LinkedIn dan Job Street peluang pekerjaan dalam bidang STEM sangat banyak tetapi hanya tertumpu pada dua kategori sahaja iaitu kejuruteraan dan matematik (statistik dan data).

Bagaimana dengan fizik, kimia dan biologi? Hampir susah untuk mencari pekerjaan kosong yang berkaitan.

Saya berpendapat, ini pun antara punca utama mengapa kurangnya murid memasuki aliran sains dan tidak menyambung bidang STEM di peringkat pengajian tinggi.

Laporan akhbar baru-baru ini bimbang jika negara kekurangan saintis suatu hari nanti. Namun, peluang pekerjaan dalam bidang penyelidikan sangat kurang.

Kita cuma banyak permintaan dalam bidang kejuruteraan. Sebab itulah negara kita mengalami penghijrahan sarjana (brain drain) kerana sarjana-sarjana ini tidak dapat menyumbang kepakarannya di negara sendiri.

Jika suatu hari nanti Malaysia berhadapan dengan krisis kekurangan tenaga kerja profesional dan teknikal, negara kita akan terbantut untuk bergerak menjadi negara maju.

Antara piawaian utama untuk menjadi negara maju ialah perkembangan teknologi dan penyelidikan yang memerlukan pakar sains itu sendiri.

Menurut kajian, kurangnya pakar suatu hari nanti bukan sahaja membantutkan kemajuan negara, malah membantutkan perkembangan ekonomi dan kualiti hidup rakyatnya.

Teknologi perubatan, teknologi tenaga, teknologi pengangkutan dan lain-lain semuanya boleh meningkatkan kualiti hidup rakyat. Tanpa pakar dalam bidang STEM, negara kita akan jauh terkebelakang di masa hadapan.

*Penulis merupakan penyelidik di Universiti Teknologi Mara dan seorang ahli fizik yang menulis lapan buku

 


Pengarang :