Logo Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL)
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKL tidak naik cukai lebih 30 tahun, bantahan hingga 25 Jun

SHAH ALAM, 18 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tidak membuat semakan kadar cukai taksiran membabitkan tanah kosong, perumahan, kilang dan perniagaan selama 37 tahun sejak 1987.

Meski pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mahu menguat kuasa nilaian baharu mulai 1 Januari 2025, pemilik hartanah boleh membuat bantahan melalui pelbagai platform selewat-lewatnya pada 25 Jun.

Bantahan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR, e-mel kepada [email protected] atau muat turun borang bantahan di https://mpkl.gov.my/sumber/muat-turun-borang/jabatan-
penilaian-dan-pengurusan-harta/.

Selain MPKL, tujuh PBT lain juga tidak membuat semakan kadar cukai antara 20 hingga 40 tahun lalu.

Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1986.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.

Katanya, pentadbiran negeri juga akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan ataupun sebaliknya.

 

 


Pengarang :