Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerima Anugerah Kehormat menerusi pembangunan semula Pekan Lama Kuala Selangor di Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia 2024, baru-baru ini. Foto Facebook MPKS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKS terima pengiktirafan di Anugerah Seni Bina Landskap 2024

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerima Anugerah Kehormat menerusi pembangunan semula pekan lama Kuala Selangor di Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia 2024, baru-baru ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan, kemenangan menerusi kategori Inisiatif Hijau diterima Pengarah Jabatan Landskap MPKS Norazean Abdul Rahman di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

“Proses rejuvenasi pekan lama Kuala Selangor bermula melalui penubuhan pasukan khas bagi mengenal pasti ruang dan penambahbaikan pekan lama Kuala Selangor selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Anugerah Seni Bina Landskap Malaysia dianjur setiap tahun sejak 2007 oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia bagi meraikan kecemerlangan mereka yang terlibat dalam seni bina landskap.

Untuk rekod, MPKS melakukan proses transformasi Pekan Lama Kuala Selangor sejak 2019 bermula dengan pembangunan semula Dataran Melawati yang kini merupakan mercu tanda baharu daerah berkenaan.

Dataran Malawati yang sebelum ini dikenali sebagai Padang Kemerdekaan dinaik taraf bertujuan meningkatkan kualiti kemudahan awam dan infrastruktur perbandaran selain sebagai kawasan tumpuan pelancong.

MPKS turut mewujudkan Laluan Seni Pekan Lama yang dipenuhi 15 jenis seni mural bertemakan warisan di dinding bangunan lama selain batu bata berwarna-warni sebagai tapak pejalan kaki.

Antara karya seni yang menarik adalah seperti Bunga Artistik oleh artis Izwan Rahimi, Fendi Rosli, dan Andi Syafie; serta Lombong Bijih Timah oleh CO2 Mural.


Pengarang :