Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan Insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri perkenal, tambah baik insentif, mahu hasil negeri dikongsi bersama

SHAH ALAM, 22 JUN: Penajaan penuh kos perjalanan 36 jemaah haji dan peningkatan sumbangan insentif muassasah kepada RM1,000 yang dilaksana tahun ini merupakan hasil kemakmuran negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata sempena sambutan Hari Raya Aidiladha juga, pentadbiran meneruskan tradisi menyumbang lembu dan kambing kepada seluruh masjid dan surau untuk ibadah korban.

“Alhamdulillah semua ini adalah rezeki yang dikurniakan Allah SWT hasil kemakmuran Selangor. Sama-sama kita bersyukur dan terus berusaha demi kejayaan bersama, insya-Allah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Tahun ini buat julung kalinya Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.2 juta bagi membiayai kos perjalanan 36 jemaah menunaikan haji secara percuma.

Pentadbiran juga memperuntuk RM6 juta bagi menyumbang RM1,000 kepada jemaah haji, meningkat RM500 berbanding sebelum ini menerusi Insentif Haji Muassasah.

Selain itu, sempena sambutan perayaan Aidiladha pada Isnin lalu, sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi sumbangan ibadah korban, membabitkan 1,000 kambing dan 700 lembu.

Haiwan berkenaan diagih kepada kepada wakil rakyat, masjid, surau dan badan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :