Logo Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 digambarkan pada bangunan Pulse, ibu pejabat jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Paris ketika tinjauan pada 20 Jun 2023. Foto REUTERS
AGENDASUKANKINI

Olimpik Paris: MOM letak harapan lima jenis sukan mampu sumbang pingat emas

TANJUNG MALIM, 23 JUN: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menaruh harapan kepada atlet negara dalam beberapa jenis sukan, bagi meraih pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan lima sukan itu ialah badminton, berbasikal, terjun, memanah dan sukan perahu layar, yang mempunyai peluang cerah untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

“Atlet kita dalam sukan ini mempunyai prospek menyumbang pingat emas di temasya sukan terbesar dunia ini dan sudah tentu sasaran kita paling utama ialah pingat emas.

“Tidak sama perasaan jika seseorang itu mempunyai 10 pingat perak berbanding mempunyai hanya satu sahaja pingat emas, sudah pasti berbeza, jadi memang kita sepakat emas mesti digenggam,” katanya dalam sidang media di sini selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MOM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024.

Turut hadir Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Bagaimanapun Mohamad Norza berkata tugas merealisasikan impian emas Olimpik sulung negara itu, tidak hanya terletak atas lima sukan itu sahaja sebaliknya sukan lain turut dilihat berpeluang menempa nama di temasya berprestij itu.

“Kesemua atlet yang layak ke Olimpik bermaksud mereka turut punya peluang dapatkan pingat, malah mereka sudah berusaha empat tahun untuk sampai kepada peringkat itu, jadi sudah tentu mereka akan cuba sedaya upaya serta bukan sekadar sebagai ‘penumpang’ sahaja.

“Setiap mereka yang bergelar atlet pasti mengimpikan mereka mampu melayakkan diri ke Olimpik, jadi mereka sudah sampai ke tahap itu dan tugas kita sekarang adalah untuk berikan segala sokongan kepada mereka, agar dapat mempamerkan prestasi terbaik di Paris nanti,” katanya.

Mohamad Norza berkata setakat ini, atlet berada pada momentum terbaik bagi menggalas cabaran kutipan pingat menerusi temasya tersebut.

“Ada atlet kita yang telah berada di sana sebagai persiapan terakhir mereka, begitu juga beberapa sukan lagi yang ada perancangan mereka sendiri, cuma kita nasihatkan untuk waspada dengan persiapan masing-masing bagi mengelak risiko kecederaan.

“Saya harap semua atlet terlibat berada dalam keadaan terbaik dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum bermulanya saingan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 5,000 peserta terdiri dalam kalangan pelajar, kakitangan UPSI dan masyarakat sekitar Muallim, menyertai sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024 yang turut diadakan serentak di lebih 200 negara, selain bertujuan meningkatkan keterujaan menjelang temasya Sukan Olimpik Paris.

– BERNAMA


Pengarang :