Perdana menteri menerima Bintang Merah di Langit Malaya dan Hikayat Merong Mahawangsa daripada Amirudin ketika melawat Pavilion Selangor selepas merasmikan pesta buku pada 30 Mei. Turut serta, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (dua, kanan), timbalannya Wong Kah Woh (kanan), Pengerusi Pengelola PBAKL Mohd Khair Ngadiron (kiri) dan Mastura
BERITA UTAMARENCANA

Pavilion Selangor tarikan pesta buku, papar pembangunan negeri

Bermula kali pertama pada 1981, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-41 menarik lebih 1.8 juta pengunjung.

Berlangsung antara 24 Mei hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, ia menyediakan 972 reruai untuk 241 pempamer termasuk dari Iran, India, China, Taiwan, Singapura, Thailand dan Filipina.

Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyertai PBAKL dengan mendirikan Pavilion Selangor bertema perumahan dan hartanah, kelestarian alam serta pendidikan.

Memuatkan maklumat inisiatif Kerajaan Negeri, reruai itu menerima kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, tiga EXCO Borhan Aman Shah, Najwan Halimi dan Anfaal Saari.

Lensa AHMAD ZAKKI JILAN merakam kemeriahan PBAKL tahun ini. Turut dimuatkan foto daripada Facebook PPAS dan Facebook Amirudin Shari.

Keterangan foto oleh HAFIZAN TAIB.

 

Pengunjung membelek buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) pada 30 Mei. Buku itu paling laris di reruai IBDE sepanjang pesta buku
Borhan dan Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad bersama petugas beberapa agensi perumahan dan hartanah Selangor ketika melawat reruai Pavilion Selangor pada 25 Mei
Meminati karya dan perbahasan sastera, Dato’ Menteri Besar mendeklamasikan puisi Pahlawan Buana nukilan Ladin Nuawi pada Malam Baca Puisi Pena @ PBAKL pada 1 Jun
Anfaal berkongsi pandangan dalam sesi bual bicara bertemakan kelestarian alam dan tanggungjawab sosial di Pavilion Selangor ketika pesta buku Kuala Lumpur pada 28 Mei
Pengunjung Pavilion Selangor mendengar sesi bual bicara melibatkan Najwan dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi pada 1 Jun
Sabiluzzuhdi Zahari, 22, (dua, kanan) dan adiknya Syamil, 20, tertarik dengan buku 40 Hadis Imam Nawawi terbitan IBDE pada 1 Jun. Penerbit mendapat geran Kerajaan Negeri
Seorang bapa mendapatkan maklumat mengenai Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) ketika melawat Pavilion Selangor pada 30 Mei
Pencinta buku tidak melepaskan peluang mendapatkan bahan bacaan murah dengan harga potongan, antaranya tiga buah buku RM80, di PBAKL pada 30 Mei
Pengunjung menyaksikan dron semburan untuk kerja tani model F16 yang dipamerkan di reruai Pavilion Selangor sempena pesta buku Kuala Lumpur pada 30 Mei
Popular dengan lagu Lemak Manis, Roslan Madun berkongsi pengalaman sebagai penyanyi lagu rakyat Pahang di Pavilion Selangor. Lagu ini dapat sambutan semula di media sosial
Kanak-kanak boleh bermain di reruai Pavilion Selangor di pesta buku Kuala Lumpur pada 30 Mei. Reruai ini mempromosi pelbagai agensi negeri termasuk PPAS
Pengunjung dari Teluk Intan, Perak Mohd Fadli Mohd Asnawi mencuba destar ketika mengunjungi Pavilion Selangor pada 1 Jun. Produk ini dipamer di reruai Komuniti Belia Selangor (SAY)
Peminat buku meneliti beberapa karya menarik di reruai IBDE pada 30 Mei. Dibiayai dana Kerajaan Negeri, lebih 80 judul terjemahan karya agung dunia dijual sejak 2016
Fauzan Azim Asri dari Selangor FC menjual pelbagai jenis jersi pasukan Gergasi Merah di reruai Pavilion Selangor ketika pesta buku Kuala Lumpur pada 1 Jun

 

 


Pengarang :