Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 30 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemberian baucar buku semarak minat membaca, bantu ringan beban ibu bapa

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Pemberian baucar buku kepada pelajar Tahun Empat dan ke atas yang bermula semalam, dapat menyemarakkan minat membaca dalam kalangan golongan muda, selain membantu meringankan beban ibu bapa.

Terdapat penetapan panduan bagi menggunakan baucar bernilai RM100 itu, seperti genre buku, bagi memastikan ia digunakan untuk membeli bahan bacaan berkualiti, dan bukannya bahan bacaan ringan semata-mata.

Di PAHANG, penuntut jurusan Sarjana Muda Pengurusan Projek, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) M. Eeswarri, 23, berpandangan panduan itu sesuai dengan perkembangan ilmu semasa, selain membantu industri penerbitan buku negara.

“Sebagai orang muda, saya tidak menafikan kebanyakan kami lebih tertarik membaca novel atau karya picisan… (perkara ini) tidak salah, cuma (bahan bacaan) perlu seiring kerana jenis buku juga dapat membentuk karakter individu,” katanya yang berhasrat menggunakan baucar itu untuk membeli buku berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Forest Heights di Seremban, NEGERI SEMBILAN Muhammad Syakir Iman bin Mohd Rafiz, 19, pula menyifatkan pemberian baucar itu dapat mengalakkan pelajar membeli buku berkualiti dan seterusnya membudayakan amalan membaca.

Di PUTRAJAYA, pekerja swasta Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan, 38, berkata baucar itu dapat meringankan beban ibu bapa memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak, terutamanya dalam menyediakan bahan bacaan tambahan.

Beliau berkata sejak pengumuman baucar dibuat pada Khamis, dua anaknya berusia 13 dan 11 tahun sudah membuat carian buku yang hendak dibeli menggunakan baucar itu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBKL) 2024 pada minggu ini.

Di TERENGGANU, suri rumah Fatimah Jais, 47, menyifatkan pemberian baucar buku itu sangat bermakna buat dirinya yang mempunyai dua anak bersekolah di tingkatan dua dan lima, khususnya selepas suaminya Osman Awang, 54, yang sebelum ini mengambil upah memproses ikan di jeti nelayan, mengalami masalah kesihatan.

Pesara tentera Ahmad Tarmizi Dollah Ahmad, 57, yang menetap di Gua Musang, KELANTAN berkata bantuan baucar itu melegakan dirinya memandangkan empat anaknya masih bersekolah dan kemudahan itu membolehkan mereka mendapatkan bahan bacaan ilmiah mengikut minat masing-masing.

Sementara itu, di SABAH pensyarah Christie Elbado, 41, berkata mekanisme penebusan baucar dan pembelian buku secara dalam talian melalui aplikasi Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) dan Kota Buku Digital tepat untuk menggalakkan lebih ramai memanfaatkan baucar itu.

Ibu dua anak itu berkata ini kerana Sabah kekurangan kedai buku khususnya di kawasan luar bandar, selain mekanisme pengedaran buku yang amat terhad berikutan faktor geografi yang luas.

Di PULAU PINANG, kerani Marsyitah Abdul Halim, 36, yang mempunyai anak bersekolah di tahun empat dan tingkatan satu berharap baucar itu dapat mendorong kanak-kanak sekolah untuk kembali menerapkan minat membaca dalam kalangan murid yang dilihat semakin berkurangan.

Sementara itu, penuntut Politeknik Merlimau, MELAKA Sharifah Nurin Amalin Syed Pakhrurazi, 20, berkata baucar itu sangat membantu dirinya membeli buku rujukan ilmiah, memandangkan ada buku yang diperlukannya agak mahal.

Mempunyai pandangan yang sama ialah pelajar Sarjana Muda Sains Dengan Pendidikan (Kimia) Universiti Malaya Amirul Syafiq Abdul Rahman, 22, dari PERAK yang berpendapat golongan mahasiswa banyak memerlukan bahan bacaan untuk menyiapkan tugasan.

Di KUALA LUMPUR, ibu kepada dua murid sekolah rendah di Lembah Pantai, 35, Fatin Ainor Abdullah berkata pemberian baucar buku ini dapat memudahkan urusan pembelian buku-buku bagi pembacaan anak-anak.

“Proses beli buku dengan aplikasi (DELIMa) dan guna baucar buku yang ditebus, kemudian buku akan dihantar ke rumah, ini sangat memudahkan. Bagus sebab beli buku guna aplikasi ini, jadi tak salah guna baucar itu,” katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan PBKL di Pusat Dagangan Dunia di sini, mengumumkan pemberian baucar buku RM100 kepada murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut institusi pendidikan tinggi serta Institusi Pendidikan Guru bermula 31 Mei.

Beliau juga menganjurkan supaya sebahagian peruntukan baucar itu digunakan untuk membeli buku diusulkan seperti buku karya sasterawan negara atau berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan digital manakala sebahagian lagi diberikan kelonggaran mengikut pilihan masing-masing.

– BERNAMA

 


Pengarang :