Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Pemimpin Kerajaan Perpaduan, PN sepakat kecam kes Faisal, desak siasatan telus

SHAH ALAM, 15 JUN: Pemimpin Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) berharap pihak berkuasa tegas dan membuat siasatan menyeluruh serta telus terhadap insiden keganasan melibatkan atlet negara.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan kejadian sedemikian tidak wajar dipandang remeh dan perlu penguatkuasaan tegas berikutan ia berpotensi untuk berulang lagi pada masa akan datang.

“Kami amat terkesan tatkala menekuni sidang media terkait perkembangan mutakhir Faisal Halim beberapa hari lalu yang sememangnya menyentuh nurani rakyat.

“Bola sepak, yang selama ini dijulang sebagai sukan menyatukan rakyat dicemar dengan elemen keganasan dan ketaksuban melampau hingga menjurus kepada perpecahan masyarakat,” kata pemimpin berkenaan.

Kelmarin, pemain kebangsaan Faisal Halim yang membuat kemunculan sulung selepas insiden disimbah asid Mei lalu, mengakui hampir berputus asa dan mahu melupakan bola sepak susulan peristiwa hitam itu.

Pemain Bolasepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Faisal juga dilaporkan berkata sanggup kehilangan gaji berpuluh ribu ringgit demi keselamatan keluarganya, namun dinasihatkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar supaya terus bersemangat.

Menurut tonggak Gergasi Merah itu, sokongan ditunjukkan ahli keluarganya sepanjang tempoh pemulihan memberikan harapan baharu untuk dirinya kembali bangkit dan beraksi semula di padang.

Dalam kenyataan sama, pemimpin Kerajaan Perpaduan dan PN menyifatkan insiden keganasan terhadap beberapa pemain bola sepak sebagai titik hitam dalam dunia sukan negara dan perlu dihentikan.

“Langkah proaktif wajar digerakkan semua pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menangani budaya ‘hooliganisme’ dari terus menular dan merosakkan industri bola sepak negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan pemimpin EXCO Sukan Selangor Najwan Halimi (Parti Keadilan Rakyat), Daniel Gooi Zi Sen (EXCO Pulau Pinang-DAP) dan Senator Mohd Hasbie Muda (Ahli Dewan Negara-Parti Amanah Negara).

Pemimpin lain termasuk Dr Muhammad Akmal Saleh (EXCO Melaka-Umno), Afnan Hamimi Taib Azamudden (Ahli Parlimen Alor Setar-PAS) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (Ahli Parlimen Machang-Bersatu).


Pengarang :