Fatihatul Badriyah Mohd Abd Latif Hilmi dinobatkan sebagai johan bagi kategori juzuk tahap 1-20 pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran 2024 peringkat kebangsaan yang diadakan di Pahang, bulan lalu. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor bertarikh 9 Jun 2024.
AGENSISELANGOR

Penerima bantuan LZS johan tilawah, sambung pengajian bidang syariah

SHAH ALAM, 19 JUN: Kemiskinan tidak menghalang seorang penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjuarai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran 2024 peringkat kebangsaan, bulan lalu.

Agensi itu memaklumkan Fatihatul Badriyah Mohd Abd Latif Hilmi selaku penerima Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi LZS dan Elaun Isbat al-Quran menjadi johan kategori juzuk tahap 1-20.

“Walaupun dikategorikan sebagai asnaf fakir yang berasal daripada Sabak Bernam ini, ia tidak menghalang Fatihatul Badriyah untuk terus mengorak kejayaan bagi mengubah nasib keluarganya.

“Terbukti hasil usaha beliau selama ini membuahkan hasil apabila berjaya mendapat tempat pertama di Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Pahang, bulan lalu,” katanya di Facebook.

Menurut LZS, anak sulung daripada 10 beradik itu sedang meneruskan perjuangan menuntut ilmu di Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi dalam bidang Diploma Pengajian Syariah.

Tambahnya, bayaran zakat yang diurus LZS terbukti membantu mengubah nasib golongan memerlukan khususnya asnaf generasi kedua seperti Fatihatul Badriyah.

“Ayuh tunaikan zakat anda di https://fpx.zakatselangor.com.my bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang berjaya seperti adik Fatihatul,” katanya.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-66 dianjur selama enam hari menghimpunkan 29 qari dan qariah dari seluruh negara termasuk 81 peserta hafazan.


Pengarang :