AGENDAJENAYAH

Pesara guru berdepan detik cemas dilarikan pencuri kereta di stesen minyak

KUANTAN, 4 JUN: Seorang pesara guru wanita melalui detik cemas apabila dilarikan seorang lelaki tidak dikenali menggunakan kereta milik anaknya dalam kejadian di stesen minyak di Semambu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian kira-kira 3.10 petang itu, Napisah Muhammad, 68, dilarikan sejauh lebih kurang 400 meter dari stesen minyak berkenaan sebelum diturunkan di situ dalam keadaan selamat.

Beliau berkata selain melarikan kereta jenis Honda City 1.5L V berwarna merah itu, suspek turut menyamun telefon bimbit jenis iPhone 14 milik anak mangsa, kad Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTAG dengan kerugian dianggar RM94,000.

Sebelum kejadian itu, katanya mangsa bersama suaminya, Mohamed Halim Omar, 77 dan anak perempuannya yang merupakan seorang akauntan yang juga pemilik kenderaan terbabit berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak serta ke tandas.

“Semasa mengisi minyak, mangsa dan suaminya telah ke tandas. Selepas anak mangsa selesai mengisi minyak, dia meletakkan kenderaannya berhampiran tandas dan mangsa yang telah selesai ke tandas terus masuk ke dalam kereta.

“Anak mangsa pula kemudiannya mahu ke tandas dengan meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup. Ketika dia sedang berjalan, dia terdengar emaknya meminta tolong dan nampak keretanya bergerak laju manakala emaknya tidak sempat turun dari kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata hasil siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek seorang lelaki datang ke stesen minyak berkenaan menggunakan motosikal curi serta nombor plat palsu sebelum masuk ke kereta dan melarikan kenderaan berkenaan.

“Usaha mengesan suspek giat dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :