Seramai 1,000 peserta bertanding Kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS cadang anjur tahunan acara lumba basikal, gilap pelapis, rancak pelancongan

SHAH ALAM, 23 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bercadang menjadikan kejohanan berbasikal Selangor International Race (SIR) sebagai acara tahunan sekali gus menggilap lebih ramai bakat pelapis.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata selain merancakkan sektor pelancongan, acara yang memasuki tahun kedua penganjuran memberi peluang pelumba tempatan bersaing dengan peserta profesional pelbagai negara.

“PKNS kini banyak anjurkan kejohanan sukan lain seperti badminton, golf dan terkini berbasikal. Kita mahu PKNS dikenali bukan sahaja pemaju hartanah atau perumahan tetapi penganjur kejohanan sukan bertaraf antarabangsa.

“Ini antara usaha PKNS untuk semarakkan lagi sukan di Malaysia khususnya Selangor. Kita sentiasa menyokong pembangunan sukan berbasikal dan mahu menjadikan acara ini bertaraf antarabangsa setanding kualiti acara berbasikal yang lain,” katanya pada program tersebut di ibu pejabat PKNS di sini, hari ini.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melepaskan 1,000 peserta kejohanan SIR 2024 sejauh 145 kilometer. Pelumba akan merentasi lebuh raya, laluan berbukit serta projek perbandaran PKNS seperti Kota Puteri, pekan ljok dan berakhir di Shah Alam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon bercakap kepada media ketika sidang media Kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kejohanan tersebut mendapat maklum balas positif apabila penyertaan pelumba luar negara meningkat berbanding tahun lepas.

“Jumlah pelumba masih kekal seramai 1,000 seperti tahun lepas tetapi bilangan negara peserta meningkat. Pendaftaran yang diterima sebenarnya lebih 1,000 tetapi terpaksa menolaknya kerana mahu mengekalkan kualiti kejohanan,” katanya.

SIR 2024 menghimpunkan pelumba basikal antarabangsa antaranya Britain, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Jerman.

Kejohanan SIR menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 membabitkan dua kategori perlumbaan iaitu profesional dan amatur.

Penganjuran SIR 2024 mendapat kerjasama daripada Selangor Youth Community (SAY), Cycling Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Arena Asia Malaysia.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melepaskan peserta Kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melepaskan peserta Kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Seramai 1,000 peserta bertanding Kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :