Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Mawlid Akbar Darul Ehsan Berselawat di Dataran Tapak Karnival Perkarangan Stadium, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM seru rakyat jadikan negara berpaksi kekuatan, semangat Islam

SHAH ALAM, 2 JUN: Perdana menteri menyeru rakyat bersama menjadikan Malaysia negara Madani berpaksikan kepada kekuatan dan semangat Islam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain meneroka penemuan baharu pembangunan negara juga harus bertunjangkan kepada kekuatan akidah dan akhlak Islam.

“Kita harus gapai dan meneroka penemuan baharu termasuk digital dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) namun sebagai sebuah negara Madani ia harus berakar kepada kekuatan akidah, nilai dan akhlak Islam.

“Dan sebagai tanggungjawab kita bersama, marilah hidupkan dengan menambah keikhlasan ‘al-amal Lillahi Taala’ dan pada masa sama membawa roh ini dalam hidup dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akhbar sempena penutup Festival Turath Islami Selangor 2024 di Dataran Tapak Karnival pekarangan Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Turut hadir pada program itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan pendakwah terkenal Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid.

Anwar turut memuji inisiatif Kerajaan Selangor menganjurkan festival memasuki siri kedua tahun ini yang dapat menyemarakkan umat Islam untuk menghayati dan memuliakan Nabi Muhammad SAW.

“Saya mengucap terima kasih kepada saudara Amirudin yang mengambil inisiatif ini dan kepada semua yang hadir dapat menyemarakkan semangat yang harus dimuliakan ini.

“Satu majlis yang menyemarakkan dorongan dan semangat kita menghayati dan memuliakan Nabi Muhammad SAW. Satu tradisi yang amat mulia,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 50,000 pengunjung hadir mengimarahkan program Darul Ehsan Berselawat dan Maulid Akhbar yang menutup tirainya malam ini.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam melibatkan ulama tradisional dan ahli akademik.

 


Pengarang :