Polis menemukan jenazah Zayn Rayyan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis mohon sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan esok

SHAH ALAM, 6 JUN: Polis memohon reman ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, disambung esok bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan membuat permohonan untuk menyambung reman terhadap pasangan itu selepas tempoh reman tamat esok.

“Esok kita akan mohon untuk menyambung reman,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan peguam ibu bapa Zayn Rayyan memaklumkan beliau tidak dibenarkan bertemu mereka yang kini dalam tahanan reman.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya Fahmi Abd Moin dilaporkan berkata, beliau sudah memohon jasa baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertemu namun tidak dibenarkan.

1 Jun lalu Hussein mengesahkan polis menahan ibu bapa Zayn Rayyan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, pada 10.05 pagi, 31 Mei 2024 bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan anak pasangan itu.

Pada 5 Disember tahun lalu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum mayatnya ditemui berhampiran kawasan saliran air yang terletak kira-kira 200 meter dari blok unit kediamannya di Pangsapuri Idaman keesokan hari.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.


Pengarang :