EXCO Keusahawanan Najwan Halimi (kanan) dan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua dari kanan) menunjukkan Kupon Digital Rahmah bernilai RM10 di bazar Ramadan Hijrah Alam Impian, Shah Alam pada 21 Mac 2024. Foto Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program latihan usahawan PLATS berhasil luas pasaran, jana pendapatan

SHAH ALAM, 6 JUN: Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) berhasil mengembangkan perniagaan dan meluaskan capaian pasaran peniaga.

Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program latihan pendigitalan perniagaan itu salah satu inisiatif di bawah Platform Selangor (PLATS).

Berkongsi kejayaan seorang peserta, Ahmad Azri Zainal Nor berkata kegigihan peniaga sayur-sayuran organik itu menimba ilmu untuk memajukan diri dan perniagaan membuahkan hasil dengan peningkatan pendapatan.

Menurutnya, B Kala Rani menyertai U-PLATS di bawah kuota peniaga Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan hasilnya wanita itu kini celik menggunakan aplikasi media sosial sekali gus meluaskan capaian pasaran dan menambah pendapatan.

“Hasil dipelajari dalam kursus U-PLATS, dia telah pandai menggunakan aplikasi Tiktok. Rajin buat ‘content’ (kandungan) dan‘live’ (siaran langsung) dengan tontotan mencecah 50,000 penonton,” katanya.

Ahmad Azri berkata pihaknya gembira dengan perkembangan itu yang terhasil menerusi platform, galakan dan sokongan disediakan.

“Kami yang menyediakan platform, galakan dan sokongan rasa berbaloi dengan apa yang telah kami berikan. Kalau kita (agensi kerajaan dan GLC) ikhlas nak bantu, buat program yang bagus pasti ada hasil yang positif untuk rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini terdapat 362 usahawan di bawah U-PLATS. Ia merangkumi tiga fasa utama iaitu U-PLATS Digital dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) bermula September 2023 hingga Mac lalu.

Selain itu U-PLATS Let’s Halal dengan kerjasama HIS Toyyiba dijangka bermula Julai ini dan U-PLATS Expand selewat-lewatnya Mac tahun depan.

PLATS diperkenal pada 2020 bagi melengkapkan ekosistem agenda pendigitalan Selangor susulan penularan Covid-19 dan ditambah baik bagi memastikan peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.

 


Pengarang :