Wakil 46 sekolah dalam daerah Petaling mendapatkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program PTRS sumbang peningkatan pencapaian SPM di Selangor

SHAH ALAM, 2 JUN: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dilaksana Kerajaan Negeri antara faktor menyumbang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Selangor mencatatkan pencapaian lebih baik.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dalam kenyataan memaklumkan Selangor memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) 4.67 berbanding hanya 4.80 pada 2022.

Malah, katanya calon layak menerima sijil SPM turut meningkat dengan seramai 58,082 calon atau 91.14 peratus berbanding 56,402 calon atau 89.25 peratus pada 2022.

Menurut kenyataan itu prestasi peratus lulus bagi empat mata pelajaran PTRS iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik menunjukkan peningkatan pada 2023.

“Peratus lulus Sejarah adalah yang tertinggi antara empat mata pelajaran, iaitu peningkatan 2.03 peratus apabila sebanyak 58,487 calon (91.99 peratus) lulus, berbanding 56,739 calon (89.96 peratus) lulus pada 2022.

“Secara keseluruhannya, prestasi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi keenam-enam mata pelajaran PTRS menunjukkan peningkatan prestasi pada 2023 berbanding 2022,” katanya dalam kenyataan.

Susulan kejayaan itu, MBI menerima surat penghargaan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Dr Jafri Abu selain merakam setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada pelajar terlibat dengan program PTRS.

Jelasnya, PTRS yang dikoordinasi dan diurus Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI yakin kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dapat terus diperkasa.

“Melalui peruntukan sebanyak RM10 juta, MBI Selangor yakin sinergi bersama JPNS dapat memperkasa dan memartabatkan agenda pendidikan di Selangor sejajar dengan visi Dato’ Menteri Besar Selangor,” katanya.

Sebelum ini Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan tambahan peruntukan RM3 juta untuk PTRS kepada MBI menjadikan jumlahnya RM10 juta berbanding RM7 juta tahun lalu.

PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.


Pengarang :