Tokoh Ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif Al Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program talaqqi kitab turath kembali, kupas karya agung Imam Al-Ghazali

SHAH ALAM, 19 JUN: Program Talaqqi Kitab Turath Islami bagi mengupas karya agung Imam Al-Ghazali diteruskan pada 24, 25 dan 27 Jun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menampilkan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni, program kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjur hujung bulan lalu akan mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.

Selain Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), siri tersebut turut dianjurkan bersama Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri.

Program pada 24 Jun meliputi dua sesi iaitu kuliah Dhuha (9 hingga 11 pagi) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam) manakala pada 25 dan 27 Jun sesi kuliah Dhuha diadakan bermula 9 hingga 11 pagi.

Jemputan majlis ilmu itu terbuka untuk semua muslimin dan muslimat selain kitab-kitab juga akan dijual di reruai IBDE di sana.

Festival Turath Islami Selangor yang masuk kali kedua penganjurannya tahun ini diadakan selama lapan hari bermula hujung 26 Mei hingga 2 Jun.

Bagi memartabat syiar Islam menerusi penganjuran majlis ilmu mendalam ia menampilkan syarahan tokoh ulama antarabangsa antaranya bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang mengupas Kitab Hadis 40 Imam Nawawi.

Berlangsung di masjid negeri festival itu turut menyediakan Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Turut dipamer dalam pameran itu ialah naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800.


Pengarang :