DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan trofi dan cek cura kepada Rahil Gangjee yang menjuarai Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 22 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Raja Muda berkenan ke kejohanan Golf PKNS, serah hadiah kepada juara

PETALING JAYA, 22 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke majlis penutup Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor (KGSS) di sini, hari ini.

Tengku Amir Shah turut menyampaikan hadiah kepada juara kejohanan tersebut Rahil Gangjee dari India yang membawa pulang hadiah wang tunai USD 30,625 (RM144,335.62) serta trofi.

Turut menerima hadiah daripada Raja Muda Selangor, pemain amatur lelaki negara Marcus Lim yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Malaysia PKNS Master 2024.

Pada majlis tersebut, Marcus yang merupakan juara Piala Supra 2023 Jelajah Toyota membawa pulang wang tunai RM10,000. Sementara itu, pemain golf profesional muda negara, Muhammad Danial Faidz pula dinobatkan sebagai Amatur Terbaik.

Terdahulu, pada majlis tersebut Tengku Amir Shah turut berkenan menerima cek cura bernilai RM300,000 sumbangan Sime Darby Property kepada Yayasan Raja Muda Selangor. Cek tersebut diserahkan oleh Pengarah Urusan Sime Darby Property Dato’ Azmir Merican.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima cek cura ketika majlis penutup Kejohanan Golf PKNS Selangor Masters 2024 dan simbolik penyerahan tajaan Sime Darby Property kepada Yayasan Raja Muda Selangor di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 22 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kejohanan Golf Selangor Masters 2024 yang berlangsung dari 19 hingga 22 Jun di Kelab Golf Seri Selangor (KGSS) disertai seramai 144 peserta.

Menerusi kejohanan itu, seramai 59 pemain Malaysia bakal beraksi merangkumi 40 pemain daripada Jelajah Toyota dan bakinya yang layak menerusi Jelajah Pembangunan Asia (ADT) atau bermain secara jemputan dalam kejohanan-kejohanan berkenaan.

Selain Golf Selangor Masters 2024, turut berlangsung Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 bermula 12 hingga 15 Jun yang menyaksikan 123 pemain berentap bagi kategori individu serta berkumpulan lelaki dan perempuan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata acara itu menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan tersebut.

Menurut Amirudin dua kejohanan ini seiring komitmen Selangor untuk membangunkan sukan golf selain menjadi platform terutama pemain profresional terutama perserta dari Malaysia untuk meningkatkan kerjaya mereka dalam sukan ini.


Pengarang :