SHAH ALAM, 8 JUN: Program Jalinan Kasih Mesra Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rewang Sekampung di PPR Kampung Baru Hicom di sini, memberi peluang penduduk bukan Melayu merasai pengalaman bergotong-royong ala kampung.
R Chandrakala, 44, berkata beliau teruja apabila julung kali menyertai aktiviti rewang menyiapkan juadah makanan seperti kenduri untuk hidangan 4,000 penduduk.
“Ini pertama kali saya datang rewang dan saya seronok dapat berkumpul bersama jiran. Selama 10 tahun tinggal di sini, kami tidak pernah ada aktiviti besar seperti ini.
“Saya harap program baik seperti ini dapat dianjurkan selalu, kalau dapat dua kali setahun pun sudah cukup. Kami orang susah, hujung minggu memang tiada aktiviti apa pun,” kata pekerja pembersihan itu lagi.
Sementara itu, penyelaras program, Azizan Awang, 50, berkata pihaknya mengambil masa tidak sampai sebulan untuk mengumpulkan penduduk dan membuat persiapan majlis berkenaan.
Menurutnya beliau terkejut apabila majoriti penduduk tanpa mengira latar belakang memberikan kerjasama baik bagi memastikan kelancaran program.
“Saya teruja melihat semua penduduk berkumpul tidak kira umur dan bangsa. Ini pertama kali kita buat program besar ini dan masing-masing hadir dan memberikan komitmen terbaik.
“Tidak susah pun mahu buat persiapan dan kumpul penduduk. Saya rasa tidak sampai sebulan kita aturkan semua ini. Syukur semua berjalan lancar,” katanya.
Program Jalinan Kasih Mesra PPR Rewang Sekampung yang dianjur selama dua hari dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukaneka, majlis berendoi selain kenduri rakyat pada sebelah malam.
Program tersebut dirasmikan EXCO Perumahan Borhan Aman Shah dan dihadiri Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Dato’ Dr Juhari Ahmad.