Bekas Mufti Besar Mesir, Sheikh Profesor Dr Ali Jum’ah mengupas kitab Hadith 40 ketika pembukaan Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ribuan bertalaqqi, bekas mufti besar Mesir sebak baca hadis

SHAH ALAM – Tidak kurang 1,000 penuntut ilmu belajar secara berdepan (bertalaqqi) huraian Arbain an-Nawawiyah, atau Hadis 40, daripada ilmuwan tersohor Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Mulai sesi pertama, daripada 12 sesi, pada pagi 26 Mei, peserta tekun menerima mutiara ilmu bekas mufti ini, yang juga ahli Majlis Tertinggi Ulama al-Azhar, daripada kitab syarah karangan beliau.

Sehingga khatam semua 42 hadis himpunan Imam an-Nawawi pada malam 30 Mei, pembentangan ini sebahagian tumpuan penting Festival Turath Islami Selangor 2024 yang berlangsung di Masjid Negeri, Shah Alam hingga 2 Jun.

Dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum sesi pertama syarahan Dr Ali Jum’ah, majlis ilmu ini menggunakan kitab terjemahan 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian Untuk Dunia Semasa.

Bekas Mufti Besar Mesir, Sheikh Profesor Dr Ali Jum’ah mengupas kitab Hadith 40 ketika pembukaan Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Festival kali ini mengangkat karya Yahya Sharaf an-Nawawi, ulama terkenal dunia Islam dalam aliran fiqah Imam Syafie dan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kitab hadis karyanya pada abad-13 dihurai dan diterjemah dalam pelbagai bahasa hingga kini.

Tahun lepas, festival ini mengangkat Imam al-Ghazali dan karya ulungnya Ihya’ Ulumuddin, juga dihurai Dr Ali Jum’ah. Diilham daripada idea Dato’ Menteri Besar, ia dianjurkan bagi menggalakkan umat serantau mendalami teks besar klasik.

Setiap hari Dr Ali Jum’ah mensyarahkan hadis dalam tiga sesi, dari pagi hingga malam, kecuali 29 Mei (hanya sebelah pagi). Sementara menunggu sesi berikutnya, ramai peserta beriktikaf dan bermalam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sebahagian besarnya anak muda, termasuk wanita yang membawa anak kecil, mereka duduk bersila sambil menunggu Dr Ali Jum’ah tiba untuk menyampaikan kuliahnya di dewan solat utama.

Dalam tempoh empat hari, setakat berita ditulis, keluasan ilmu profesor ini cukup terserlah. Dr Ali Jum’ah memulakan syarahannya dengan membaca teks hadis, menyebut sanad dan kesahihan.

Orang ramai mendengar kupasan kitab Hadith 40 yang dismpaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Profesor Dr Ali Jum’ah ketika pembukaan Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi setiap sesi, penyampaian beliau diterjemah oleh dua anak muridnya, Ahmad Faiz Mohd Khalil dan Muhammad Noorazam Bahador.

Ulasan pula disampaikan oleh enam ilmuwan dalam sesi terpilih: habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid, syeikh Nazrul Abd Nasir, syeikh Hairul Nizam Mat Husin, ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, baba haji Ghazali Ahmad al-Fathoni dan Dr Umar Muhammad Noor.

Kemudian Dr Ali Jum’ah menghurai biografi perawi hadis dan pengenalan ringkas mengenai mereka. Nama periwayat itu diulas dari sudut bahasa dan penggunaannya dalam masyarakat Arab.

Bekas mufti itu menghurai hadis dan cara memahaminya, mencakupi pelbagai sudut – tatabahasa Arab, akidah, fiqah, usul fiqah, sirah Nabi Muhammad SAW, kaedah mengeluarkan hukum dan cara bermuamalat.

Ada waktunya beliau sebak ketika membacakan hadis, antaranya hadis ke-21 yang mewajibkan umat Islam istiqamah atas landasan agama dan hadis ke-28 mengenai ketaatan kepada pemimpin walau seorang hamba.

Kisah tawanan perang bernama Saffanah at-Tai, pada hadis ke-21, menerima selendang Rasulullah SAW membangkitkan emosi ulama tersebut. Sementara hadis ke-28 menggambarkan pesanan akhir Nabi kepada para sahabat seolah-olah akan wafat.

Ketika menghurai hadis kelapan mengenai jihad dan perang pula, Dr Ali Jum’ah meluruskan kefahaman tentang konsep ini yang sering disalah tafsir hingga mencetuskan terorisme.

Katanya, peperangan terhadap Bani Quraisy dari Makkah bukan bermakna memaksa mereka memeluk Islam tetapi untuk mempertahankan umat yang tinggal di Madinah.

“(Jadi) bukanlah peperangan itu hendak mengislamkan orang, bukan. Ia bertujuan semata-mata untuk mempertahankan diri. Islam ini agama terakhir, ia (agama ini) perlu mempertahankannya demi kemaslahatan keseluruhan,” hurainya pada sesi pagi 27 Mei.

Orang ramai mendengar kupasan kitab Hadith 40 yang dismpaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Profesor Dr Ali Jum’ah ketika pembukaan Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Syarahannya yang teliti bersama terjemahan yang lancar mengujakan peserta, yang hadir sejam lebih awal walau sesi bermula 9 pagi. Mereka khusyuk mendengar sambil mencatat mutiara ilmu daripadanya sehingga selesai setiap sesi.

Rata-rata peserta yang ditemui Selangorkini meluahkan rasa syukur dapat bimbingan seorang ulama luas ilmunya. Seorang pemuda dari Depok, Jakarta datang semata-mata untuk berguru de-ngan Dr Ali Jum’ah hingga khatam.

“Apabila saya tahu (festival turath), saya terus mencari tiket pesawat ke sini. Saya tidak fikir dua kali,” kata Ahmad Munawar, 27, dari Pesantren Mahasiswa Al-Hikam. “Penyampaiannya luar biasa, saya syukur sekali dapat penjelasan rinci.”

Sesi ke-12 kuliah ini Daurah Hadis 40 berakhir dengan majlis khatam dan Ijazah Hadis Musalsal, acara pengijazahan sanad hadis, akan berlangsung mulai 7 petang 30 Mei. Ia disempurnakan oleh Dr Ali Jum’ah.

Orang ramai yang hadir ketika bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab mengupas kitab hadis 40 karya Imam An Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :