Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima cek cura sumbangan cabutan bertuah berupa sebuah Honda City oleh Tanjung Balai Group ketika majlis penyerahan cek sumbangan Kejohanan Bola Sepak Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 10 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Saksikan Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, peluang menangi Honda City

KLANG, 11 JUN: Piala Sultan Selangor (TSSC) yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos menawarkan hadiah utama cabutan bertuah sebuah Honda City.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar mengajak peminat bola sepak tanah air merebut peluang itu dengan menyaksikan perlawanan berkenaan di Stadium Merdeka.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Kejohanan Bola Sepak Sultan Selangor Tan Sri Abd Karim Munisar bercakap kepada media selepas majlis penyerahan cek sumbangan Kejohanan Bola Sepak Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 10 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah Kumpulan Tanjung Balai sudi menaja sebuah Honda City sebagai hadiah cabutan bertuah utama untuk tiga tahun berturut-turut.

“Penonton juga berpeluang mendapat cabutan bertuah penginapan empat hari tiga malam di Marriott Kota Kinabalu dan Noble Resort Hotel Melaka yang ditaja oleh syarikat Aerofront City Development,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2024 dan jamuan teh di Istana Alam Shah Klang, di sini, semalam.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima cek cura TSSC 2024 bernilai RM1 juta sumbangan Kerajaan Negeri.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama penaja kejohanan Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 di Istana Alam Shah, Klang pada 10 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Abd Karim berkata perlawanan pasukan veteran pada 8 malam membuka tirai TSSC 2024 diikuti perlawanan utama satu jam kemudian.

“Orang ramai boleh mendapatkan tiket berharga RM10 di restoran Uncle K SACC Mall Shah Alam sebulan sebelum tarikh perlawanan dan di Stadium Merdeka pada hari pertandingan.

“Sekiranya tidak berpeluang orang ramai juga boleh menonton perlawanan itu secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya.

Beliau turut menasihati penonton untuk menaiki pengangkutan awam sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga 12.30 tengah malam pada hari perlawanan.

Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Semenara Pilihan Singapura pula pernah meraih gelaran sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Kedua-dua pasukan turut berkongsi kejuaraan pada 2015 memandangkan perlawanan terpaksa dibatalkan susulan jerebu.

Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 yang mana Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 1-0.


Pengarang :