DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 26 Februari 2024. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
BERITA UTAMABUDAYAPILIHAN MINGGUANRENCANA

Sejarah pertabalan Agong, dari Jalan Ampang ke Istana Negara

Tanggal 20 Julai menjadi detik bersejarah negara apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim ditabal di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pertabalan penting kerana ia melambangkan sistem raja berperlembagaan di Malaysia serta menjulang kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai payung rakyat.

Istiadat itu diadakan di balairong seri istana, namun era awal kemerdekaan menyaksikan Yang di-Pertuan Agong ditabal di Jalan Ampang, ibu negara.

Sempena hari keputeraan Seri Paduka pada 3 Jun, wartawan NADIAH ZAMLUS menyorot lokasi pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak 67 tahun lepas.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad ketika ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang pada 2 September 1957

Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang

Menjadi tempat pertama pertabalan Yang di-Pertuan Agong, bangunan asal Dewan Tunku Abdul Rahman dibina pada 1935. Awalnya dimiliki pelombong dan pengusaha ladang getah di Kuala Lumpur.

Bangunan itu didirikan di kebun rambutan seluas 2.6 hektar. Namun bertukar tangan kepada British selepas Perang Dunia Kedua.

Setelah merdeka, jawatan Yang di-Pertuan Agong diisi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad. Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra mencadangkan dewan itu sebagai lokasi pertabalan Seri Paduka.

Tuanku Abdul Rahman ditabalkan di dewan berkenaan pada 2 September 1957. Seterusnya tempat itu menyaksikan lima lagi pertabalan Yang di-Pertuan Agong kecuali DYMM Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang mangkat beberapa jam sebelum ditabal pada 1 September 1960.

Dewan itu dirasmi bapa kemerdekaan pada 24 Februari 1958 dan dinamakan Dewan Tunku Abdul Rahman. Pada hari perasmian, turut berlangsung Persidangan Jawatankuasa Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh.

Lokasi berkenaan terus menjadi tempat acara penting negara seperti persidangan pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu pada 11 September 1959.

Ia juga menempatkan agensi kerajaan, antaranya Pejabat Rekod Awam (kini Arkib Negara), Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Pejabat Kadi Wilayah Persekutuan dan Balai Seni Lukis Negara.

Sejak 1989 hingga kini, ia menjadi bangunan pentadbiran Kompleks Penerangan Pelancongan (Matic). Yang di-Pertuan Agong ditabalkan di Dewan Tunku Abdul Rahman ialah:

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad
Ditabal: 2 September 1957
Tempoh jawatan: 31 Ogos 1957 – 1 April 1960
Mangkat: 1 April 1960

Raja Perlis

Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Syed Hassan Jamalullail
Ditabal: 4 Januari 1961
Tempoh jawatan: 21 September 1960 – 20 September 1965
Mangkat: 16 April 2000

Sultan Terengganu

Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Sultan Zainal Abidin
Ditabal: 11 April 1966
Tempoh jawatan: 21 September 1965 – 20 September 1970
Mangkat: 20 September 1979

Sultan Kedah

Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Sultan Badlishah
Ditabal: 20 Februari 1971
Tempoh Jawatan: 21 September 1970 – 20 September 1975
Mangkat: 11 September 2017

Sultan Kelantan

Sultan Yahya Petra Ibni Sultan Ibrahim
Ditabal: 28 Februari 1976
Tempoh jawatan: 21 September 1975 – 29 Mac 1979
Mangkat: 29 Mac 1979

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah ketika ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Lama, Kuala Lumpur pada 10 Julai 1980

Istana Negara Lama, Jalan Istana

Istana Negara Lama di Jalan Istana, Kuala Lumpur menjadi lokasi kedua pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Dibina pada 1928, bangunan seni bina palladian itu asalnya milik seorang jutawan.

Ia dijadikan markas tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, sebelum dibeli DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 1950-an untuk dijadikan istana Baginda.

Kerajaan persekutuan kemudian membeli bangunan itu untuk dijadikan Istana Negara, sekali gus menjadi kediaman rasmi Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong.

Ia diubah suai beberapa kali termasuk membina balairong seri menempatkan singgahsana diraja pada 1980-an. Singgahsana itu khusus untuk pertabalan, pengurniaan darjah kebesaran dan pingat persekutuan serta majlis hari keputeraan dan keagamaan.

Fungsinya sebagai tempat bersemayam berakhir apabila Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berpindah ke Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim pada 15 November 2011.

Kini, Istana Negara Lama berperanan sebagai Muzium Diraja yang menyimpan khazanah diraja dan sejarah tanah air. Yang di-Pertuan Agong ditabal di Istana Negara Lama ialah:

Sultan Pahang

Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah
Ditabal: 10 Julai 1980
Tempoh jawatan: 26 April 1979 – 25 April 1984
Mangkat: 22 Mei 2019

Sultan Johor

Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail
Ditabal: 15 November 1984
Tempoh jawatan: 26 April 1984 – 25 April 1989
Mangkat: 23 Januari 2010

Sultan Perak

Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Sultan Yussuff Izzuddin Ghafarullahu-lah Shah
Ditabal: 18 September 1989
Tempoh jawatan: 26 April 1989 – 25 April 1994
Mangkat: 28 Mei 2014

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman
Ditabal: 22 September 1994
Tempoh jawatan: 26 April 1994 – 25 April 1999
Mangkat: 27 Disember 2008

Sultan Selangor

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Sultan Hisamuddin Alam Shah
Ditabal: 23 September 1999
Tempoh jawatan: 26 April 1999 – 21 November 2001
Mangkat: 21 November 2001

Raja Perlis

Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail
Ditabal: 25 April 2002
Tempoh Jawatan: 13 Disember 2001 – 12 Disember 2006

Sultan Terengganu

Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Ditabal: 26 April 2007
Tempoh Jawatan: 13 Disember 2006 – 12 Disember 2011

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Kedah Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Sultan Badlishah ketika
ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 11 April 2012

Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim

Rekaan istana baharu Yang di-Pertuan Agong ini menekankan ciri Islam dan tradisional Melayu pada bangunan dan persekitarannya. Terletak di kawasan seluas 97.65 hektar, ia mula beroperasi pada 11 November 2011, semasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Satu istiadat menaikkan bendera peribadi Seri Paduka diadakan pada 15 November 2011 sebagai simbolik kompleks itu rasmi menjadi Istana Negara.

Ciri seni bina istana paling menonjol ialah 22 kubahnya. Pada dua kubah terbesar, terdapat reka bentuk sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya lampu hiasan menerangi kubah dan memberi kesan yang mempesona.

Istana Negara baharu ini lebih luas, sekali gus membolehkan setiap bilik dan dewan dibina khas untuk fungsi khusus. Singgahsana tempat bersemayam Seri Paduka di balairong seri menonjolkan ukiran tradisional Melayu serta tulisan khat 99 nama Allah SWT dan ayat-ayat suci al-Quran. Yang di-Pertuan Agong ditabalkan di istana ini ialah:

Sultan Kedah

Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Sultan Badlishah
Ditabal: 11 April 2012
Tempoh jawatan: 13 Disember 2011 – 12 Disember 2016
Mangkat: 11 September 2017

Sultan Kelantan

Sultan Muhammad V
Ditabal: 24 April 2017
Tempoh jawatan: 13 Disember 2016 – 6 Januari 2019

Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
Ditabal: 30 Julai 2019
Tempoh jawatan: 31 Januari 2019 -30 Januari 2024

Sultan Johor

Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar
Ditabal: 20 Julai 2024
Tempoh jawatan: 31 Januari 2024 – kini

Sumber portal rasmi Istana Negara Kuala Lumpur, portal rasmi Muzium Diraja dan portal rasmi Pusat Pelancongan Malaysia


Pengarang :