Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Serap teknologi AI dengan nilai turath Islam, tidak bergantung kepakaran Barat

SHAH ALAM, 1 JUN: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di negara ini perlu diterapkan dengan nilai keilmuwan turath Islam dan tidak hanya bergantung kepada kepakaran Barat semata-mata.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata teknologi baharu yang berupaya menukar landskap kehidupan manusia itu tidak boleh terpisah daripada sistem dan nilai akhlak Islam.

“Kebimbangan saya di Malaysia dalam mengembangkan AI dan digital ialah kerana nilai pupuk itu ada nilai Barat dan pemikiran Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kalau mahu berjaya kita mesti latih anak kita yang mempunyai kemahiran kepakaran AI untuk memasukkan dan memuatkan khazanah ilmu Islam dan turath dalam korpus (himpunan bahan kajian) AI.

“Sebab itu saya katakan turath itu ada kaitan, kerana turath mesti dimasukkan supaya AI yang dimuntah dan diluahkan dari negara Islam itu tidak terpisah dari sistem dan nilai akhlak Islam,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin dan Perbualan Khas Imam an-Nawawi & Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program itu turut menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah sebagai tetamu kehormat selain tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Dalam pada itu, Anwar menambah kerajaan Madani komited dalam memberi penekanan dasar ilmu kepada anak-anak khususnya dalam pengenalan Hadis 40 Imam an-Nawawi seperti yang diumum sebelum ini.

Jelasnya setakat ini tiada kebimbangan daripada mana-mana pihak berhubung hasrat kerajaan untuk memperkenalkan aktiviti penghayatan kitab berkenaan kepada semua pelajar Islam di setiap peringkat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi perbualan khas Imam an-Nawawi dan Riyadhu as-Salihin pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dalam jemaah menteri, paling banyak pun mereka akan tanya apa itu Hadis 40. Saya kata ia akan diwajibkan kepada pelajar Islam tetapi kalau bukan Islam mahu belajar, ia tidak salah.

“Kalau ada kebimbangan atau tohmahan, saya belum hadapi. Tetapi saya mahu beritahu, yang putuskan perkara utama adalah saya,” katanya.

Festival Turath Islami Selangor 2024 yang membuka tirai 26 Mei dan akan berakhir esok mengupas karya agung Imam an-Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan penglibatan ulama tradisional serta ahli akademik.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

Orang ramai hadir pada majlis perasmian Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :