Sebahagian para peniaga menunjukkan notis tawaran kadar harga baharu yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang pada 11 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sewa Pasar Payang naik hingga 500 peratus, peniaga rayu kaji semula

KUALA TERENGGANU, 12 JUN: Seramai 400 peniaga Pasar Payang I memohon supaya kerajaan negeri Terengganu mengkaji semula kadar bayaran sewa premis baharu itu yang didakwa terlalu tinggi.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Payang dan Bazar Warisan Negeri, Ahmad Sukri Abdullah berkata para peniaga telah menerima notis berkaitan daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Ahad lepas yang menyaksikan kenaikan sewa antara 300 hingga 500 peratus.

Beliau berkata kenaikan terlalu tinggi itu dikhuatiri membebankan peniaga terutama yang bergantung hidup sepenuhnya kepada sumber jualan di pasar berkenaan.

“Kadar sewa berbeza-beza mengikut jenis kedai dan keluasan.Contohnya, kedai jualan peralatan dapur yang berkeluasan 3.05×3.05 meter persegi (10×10 kaki persegi) naik daripada RM110 kepada RM400 sebulan manakala kedai emas berkeluasan 3.05×7 meter persegi (10×20 kaki persegi) naik daripada RM380 kepada RM1,600.

“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup semakin tinggi, rata-rata peniaga tidak lena tidur memikirkan bagaimana untuk bertahan dengan kadar sewa baharu yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Pasar Payang 2, di sini semalam.

Ahmad Sukri berkata selain kadar sewa baharu yang tinggi, bayaran untuk papan tanda kedai sebanyak RM1,600 yang dikenakan juga agak mahal dan tidak munasabah.

Beliau berkata pihaknya menyokong usaha MBKT untuk mengindahkan Pasar Payang I dengan pemasangan papan tanda yang seragam bagaimanapun berharap pelaksanaannya tidak membebankan golongan peniaga.

“Kami di pihak persatuan sentiasa menyokong semua usaha kerajaan negeri untuk memperindah atau memberi nilai tambah bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke Pasar Payang I.

“Tetapi kami hanya peniaga kecil dengan pendapatan tidak seberapa, bayaran RM1,600 untuk pemasangan papan tanda terlalu tinggi dan perlu dipertimbang semula,” katanya yang menghantar surat rayuan kepada wakil MBKT, kelmarin.

Sementara itu, seorang peniaga peralatan dapur, Saripah Ahmad, 41, berkata dia tidak menyangka kenaikan sewa yang begitu tinggi memandangkan premis perniagaan berkenaan dimiliki kerajaan negeri.

Saripah berkata jumlah pelanggan juga semakin berkurang kecuali pada musim cuti sekolah susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan keuntungan bersih yang diterima hanya sekitar RM2,000 sebulan yang digunakan untuk menyara lima anak termasuk tiga masih bersekolah.

“Kadar sewa kedai naik dari RM110 kepada RM400 sebulan… sangat tinggi. Kalau naik sekitar RM200 ke RM250 masih boleh diterima. Saya juga perlu menjelaskan deposit, wang amanah elektrik, air dan papan tanda berjumlah RM3,530 untuk mendapatkan kunci kedai baharu.

“Itu belum campur kos upah pendawaian, pindah barang dan sebagainya yang akan menjangkau ribuan ringgit. Memang pening nak cari duit,” katanya sambil merayu kerajaan negeri mendengar rintihan peniaga dan mempertimbangkan kadar sewa baharu yang lebih munasabah.

Pasar Payang I yang dirobohkan dan dibina semula pada Ogos 2019 itu siap sepenuhnya pada Julai tahun lepas dan dijangka beroperasi 1 Julai ini.

Bangunan setinggi dua tingkat yang lebih moden itu akan menempatkan 412 lot kedai termasuk kedai emas, pakaian, batik, kraftangan, peralatan dapur dan kafe.

– BERNAMA


Pengarang :